Situasi ‘Positif’ Untuk Bank-bank Tempatan

666

Maybank Investment Bank (Maybank IB) menaikkan saranan kepada ‘positif’ daripada ‘neutral’ bagi sektor perbankan Malaysia, didorong prospek pemulihan ekonomi tahun ini dan unjuran lebih baik terhadap bank-bank.

Menerusi nota penyelidikannya pada hari ini, Maybank IB menjelaskan ekonomi negara ini bersedia untuk mencatatkan pemulihan, susulan jumlah kes aktif Covid-19 mula berkurangan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan lagi.

Justeru, bank pelaburan itu menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 5.1% tahun ini.

Dalam situasi itu, wujud beberapa elemen positif untuk sektor perbankan, termasuk pertumbuhan pinjaman lebih pantas dan pengembangan margin faedah bersih tanpa pengurangan kadar faedah seterusnya.

Tambah Maybank IB, rizab keuntungan pelaburan yang belum direalisasikan masih boleh menyediakan penampan kepada perolehan selain kedudukan modal yang kukuh bagi membolehkan pemberian pinjaman untuk pemulihan nisbah bayaran dividen.

“Kami mengunjurkan pertumbuhan agregat keuntungan operasi lebih perlahan pada 1.3% tahun ini berbanding dengan 3.0% pada 2020 dengan mengambil kira pendapatan pelaburan yang rendah, diimbangi oleh pertumbuhan pinjaman yang lebih pantas, pengembangan margin faedah bersih dan overhed terkawal.

“Unjuran bagi agregat keuntungan bersih teras 2021 bagaimanapun pada 19% tahun ke tahun berbanding dengan penyusutan 21% pada 2020 susulan kos kredit berkurangan secara beransur-ansur,” menurut bank pelaburan berkenaan seperti dilaporkan oleh Bernama.

Selain itu, Maybank IB menjangkakan pulangan ke atas ekuiti (ROE) bagi bank dalam liputannya mencatatkan purata lebih tinggi iaitu 8.6% pada 2021 berbanding dengan 7.6% pada 2020 seterusnya semakin baik kepada purata 9.2% tahun depan.

Bank pelaburan itu juga mengunjurkan pertumbuhan pinjaman sistem perbankan meningkat kepada 3.8% pada 2021 berbanding dengan 3.4% tahun lepas, didorong pertumbuhan pinjaman isi rumah yang stabil dan peningkatan pemberian pinjaman korporat susulan aktiviti ekonomi semakin rancak.

Maybank IB turut yakin tiada pengurangan kadar faedah seterusnya dengan pertumbuhan ekonomi bersambung semula,

Jelasnya lagi, bank-bank Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh semasa menghadapi krisis akibat Covid-19 iaitu dengan kedudukan modal berhemat yang dibangunkan sejak bertahun-tahun dan kini berada di atas 13% bagi semua bank, manakala CIMB pada 12.9%.

Justeru, ini membolehkan bank-bank mengharungi cabaran semasa dengan baik.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat