Syarikat Pengeluar Sarung Tangan Hadapi 30 Pertuduhan

271

Syarikat pengeluar sarung tangan, Brightway Holdings Sdn Bhd dan dua anak syarikatnya bakal menghadapi 30 pertuduhan meliputi pelbagai kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Menurut laporan Bernama, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan bagi tujuan tersebut.

“Sebanyak 22 pertuduhan akan dibuka terhadap syarikat Brightway Holdings Sdn Bhd dan syarikat Biopro (M) Sdn Bhd manakala lapan pertuduhan akan dibuka bagi syarikat La Glove (M) Sdn Bhd,” menurut KSM dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan antara kesalahan tersebut adalah kegagalan majikan mendapatkan Perakuan Penginapan daripada Ketua Pengarah JTKSM di bawah Seksyen 24D Akta 446 dan juga pelanggaran Peraturan-Peraturan di bawah Akta 446 yang melibatkan penyediaan kemudahan yang tidak memenuhi spesifikasi standard minimum yang ditetapkan.

Jika disabitkan kesalahan bakal dikenakan denda maksimum RM50,000 bagi setiap kesalahan, menurut kenyataan itu.

KSM turut memaklumkan laporan berhubung kompaun RM1,000 adalah kompaun kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan tindakan tersebut tiada kaitan dengan penguatkuasaan Akta 446 di bawah bidang kuasa JTKSM.

“KSM tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran atau ketidakpatuhan di bawah Akta 446 dan Peraturan di bawahnya.

“Mana-mana majikan dan penyedia penginapan berpusat yang belum lagi membuat sebarang permohonan Perakuan Penginapan diseru segera berbuat demikian bagi mengelak sebarang tindakan undang-undang diambil ke atas mereka,” menurut KSM.

Minggu lalu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan bersama agensi penguatkuasaan KSM telah melakukan serbuan terhadap dua blok kontena setinggi tiga tingkat di bahagian belakang kilang tersebut.

Hasil serbuan mendapati, ratusan pekerja warga asing dipercayai tinggal bersesak-sesak di blok kontena tersebut yang buruk dan tidak mempunyai kemudahan yang baik untuk pekerja asing di situ.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat