Tekanan COVID-19 Berkurangan, Sektor Ekonomi Eropah Kembali Pamer Peningkatan

252

Sesi pasaran Eropah hari ini disajikan oleh penerbitan data ekonomi dari Zon Eropah dan UK yang kembali memaparkan peningkatan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan setelah mengalami kejatuhan ketara pada bulan lalu.

Secara keseluruhan, sektor pembuatan di Zon Eropah kembali menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan pada bulan Mei, dengan meningkat pada 39.5 daripada 33.4 yang direkodkan pada April. Sementara sektor perkhidmatan juga menokok dengan meningkat kepada 28.7 daripada rekod terendah pada 12.0.

Data PMI pembuatan Jerman meningkat kepada 36.8 pada bulan Mei daripada paras terendah 11 tahun pada 34.5 yang dicatatkan bulan lalu, namun tersasar daripada unjuran pasaran untuk bertumbuh 39.2.

PMI perkhidmatan Jerman pula mencatatkan bacaan yang lebih baik daripada jangkaan pasaran untuk meningkat 26.3, dengan peningkatan kepada 31.4 daripada bacaan sebanyak 16.2 pada April.

Selain itu, PMI pembuatan Perancis pula tanpa dijangka meningkat kepada 40.3 pada bulan Mei, setelah direkodkan di paras terendah pada April iaitu 31.5, malah jauh lebih baik daripada unjuran untuk meningkat pada 36.1. Bagaimanapun, bacaan ini masih menunjukkan penguncupan dalam sektor perkilangan.

Sektor perkhidmatan Perancis pada bulan Mei pula mencatat peningkatan yang ketara iaitu kepada 30.5 daripada bacaan 11.1, bulan lalu. Namun, bacaan ini masih memperlihatkan penguncupan besar dalam aktiviti sektor swasta.

Bagaimanapun, kadar penurunan dalam aktiviti tersebut dilihat semakin berkurangan jika dibandingkan dengan kemerosotan yang direkodkan pada April, memandangkan beberapa syarikat telah dibuka semula susulan sekatan mula dilonggarkan.

Dalam pada itu, sektor pembuatan di UK turut mempamerkan peningkatan dengan meningkat kepada 40.6 daripada 32.6 yang dicatatkan bulan lalu, sementara sektor perkhidmatan pula menokok pada 27.8 daripada 13.4.

Walaubagaimanapun, peningkatan yang dicatatkan masih tidak menunjukkan pemulihan dalam kedua-dua sektor, memandangkan penurunan masih dapat dilihat dalam pekerjaan dan pekerjaan baru di sektor swasta.

Menurut IHS Markit, walaupun kadar penurunan dilihat telah berkurangan namun, bacaan pada bulan Mei menunjukkan kemerosotan terbesar untuk bulan kedua, yang pernah dilihat sepanjang 22 tahun tinjauan ini bermula.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat