Teliti Reaksi Pasaran Menjelang Penutupan Dagangan Minggu Ini

202

Dagangan Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi ini susulan sentimen pasaran yang bercampur-campur dek kerana kebimbangan terhadap kes harian Covid-19 yang terus catat rekod tertinggi.

Namun, peralihan fasa melalui Rancangan Pemulihan Nasional (NRP) di beberapa negeri serta kenaikan yang dipaparkan di Wall Street pada semalam serba sedikit memberi sentimen positif untuk menyokong aliran daripada susut lebih rendah.

Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 0.65 mata kepada 1,495.13 berbanding 1,495.78 semasa ditutup pada Khamis.

Bernama melaporkan, indeks utama itu diniagakan 0.92 mata lebih rendah kepada 1,494.86.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 192 daripada 122, manakala 262 kaunter tidak berubah, 1,617 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 213.75 juta unit bernilai RM90.38 juta.

Pada semalam, 20,596 kes Covid-19 dicatatkan di Malaysia dan seterusnya menjadi rekod harian tertinggi yang pernah dicapai sejak wabak itu melanda negara pada Februari tahun lalu.

Susulan itu, Menteri Penyelaras NRP Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata jumlah kes Covid-19 baru dengan gejala yang serius akan dijadikan sebagai petunjuk baru untuk peralihan fasa bagi setiap negeri.

Faktor itu didorong setelah kadar vaksinasi mencapai 40% bagi populasi orang dewasa dan jumlah kes Covid-19 baru menjadi kurang relevan disebabkan kebanyakan kes berada di kategori satu dan dua.

Bagi saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals turun tiga sen kepada RM7.97, TNB dan CIMB masing-masing jatuh dua sen kepada RM9.70 dan RM4.53.

Manakala Maybank, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing kekal pada harga RM8.04, RM3.96 dan RM5.72.

Bagi saham aktif, Encorp Bhd melonjak empat sen kepada 36.5 sen dan YB Ventures naik 6.5 sen kepada 63 sen, manakala Focus Dynamics, NWP Holding serta Vsolar Group masing-masing tidak berubah pada empat sen, 21 sen dan 1.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 3.24 mata pada 10,983.98, FBM ACE menokok 28.55 mata kepada 7,200.87 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 0.86 mata kepada 12,069.6.

FBM 70 meningkat 16.39 mata kepada 14,573.39 dan Indeks FBMT 100 susut 0.33 mata kepada 10,694.52.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 0.85 mata kepada 14,755.99, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menambah 0.13 mata kepada 188.17 dan Indeks Perladangan merosot 1.95 mata menjadi 6,095.97.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat