Teliti Situasi Pasaran Saham Lokal Hari Ini

170

Pembelian semasa harga rendah mendorong Bursa Malaysia dibuka tinggi pada hari ini selepas mengalami penurunan ketara semalam.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.50 mata atau 0.33 peratus kepada 1,537.68 dengan minat terhadap saham berharga rendah, telekomunikasi, penjagaan kesihatan, tenaga dan kewangan dapat dilihat.

Bernama melaporkan, indeks utama itu dibuka 0.71 mata lebih tinggi kepada 1,533.34 daripada 1,532.63 ketika ditutup pada Rabu.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 175 berbanding 155 manakala 208 kaunter tidak berubah, 1,627 kaunter tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 206.6 juta unit bernilai RM81.3 juta.

Menurut Malacca Securities, pihaknya menjangkakan aktiviti pembelian semasa harga rendah berlaku dalam pasaran tempatan memandangkan Parlimen mungkin bersidang semula pada bulan hadapan iaitu Ogos.

“Dari segi komoditi, harga minyak mentah meningkat susulan laporan menunjukkan inventori Amerika Syarikat (AS) adalah rendah,” jelasnya menerusi nota penyelidikan.

Firma itu menambah, pelabur akan memantau mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya hari ini untuk meneliti keputusan berkaitan fasa seterusnya bagi dasar pengeluaran.

Jelas firma tersebut lagi, pasaran juga mungkin menyaksikan minat belian secara kecil-kecilan dalam sektor penjagaan kesihatan dalam keadaan pandemik COVID-19 yang belum dapat dikawal sepenuhnya, selepas penjualan besar-besaran semalam.

Selain itu, minat dagangan dijangka dapat dilihat di kaunter minyak dan gas menjelang mesyuarat OPEC dan sekutunya.

Di pasaran tempatan, dalam kalangan saham berwajaran tinggi, CIMB naik lima sen kepada RM4.66, Public Bank menokok dua sen kepada RM4.13 sementara Maxis, Sime Darby Plantation dan Genting Malaysia masing-masing menambah empat sen kepada RM4.43, RM4.02 dan RM2 .81.

Hanya IOI Corp, Hap Seng, RHB Bank dan Petronas Dagangan mengalami prestasi penurunan.

Bagi saham aktif, Serba Dinamik turun setengah sen kepada 32.5 sen, PUC meningkat setengah sen kepada 17.5 sen dan Sedania melonjak tujuh sen kepada 79.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 29.35 mata kepada 11,185.57, Indeks FBMT 100 naik 29.92 mata kepada 10,905.01 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 26.61 mata kepada 12,204.89.

FBM ACE melonjak 75.02 mata kepada 7,024.37 dan FBM 70 meningkat 16.65 mata kepada 14,495.64.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 44.33 mata kepada 15,142.64, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.02 mata kepada 186.32 dan Indeks Perladangan turun 12.14 mata kepada 6,389.34.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat