“Huh seriuslah, takkan la CZ sejahat ni kot.”
Bursa gergasi mata wang kripto Binance US dan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Changpeng Zhao atau lebih dikenali sebagai CZ telah dikenakan saman kolektif di Mahkamah Daerah California Utara pada 2 Oktober 2023.
Seorang penduduk California bernama Nir Lahav yang memulakan saman itu berkata bahawa Binance US telah terlibat dalam persaingan tidak adil bagi melemahkan FTX yang kini sudah menghadapi kemusnahan.
Hal ini kerana CZ pada awal November 2022 telah mengumumkan keputusannya untuk melepaskan pegangan Binance dalam aset digital diasaskan oleh FTX iaitu FTT pada 6 November tahun lepas.
Oleh demikian, plaintif berpandangan tindakan tersebut bukan sahaja mengelirukan malah berniat jahat susulan CZ didapati sudah menjual FTT sebelum pengumuman beliau itu dilakukan untuk memberi tekanan kepada harganya.
Lahav turut berhujah bahawa langkah dibuat oleh CZ itu adalah sebahagian daripada strategi lebih luas untuk menjejaskan kestabilan FTX kerana harga FTT telah menjunam sehingga $3 daripada $23 selepas tweet beliau.
Kemudian, FTX turut mengalami kebankrapan sehingga menyebabkan eksekutif dan lembaga pengarahnya berada dalam keadaan huru-hara.
Rentetan itu, plaintif berpendapat Binance yang berhasrat untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran kripto telah melakukan tindakan dirancang dan direka bagi melumpuhkan pesaingnya.
Akibatnya, saman tersebut menuntut ganti rugi kewangan, kos mahkamah dan disgorgement yang diperoleh secara haram dalam tujuh pertuduhan.