Ubat Batuk Buatan India Sebabkan Kematian?

176

India terpaksa menghentikan semua pengeluaran dari Maiden Pharmaceuticals susulan dakwaan ubat batuk dan selsemanya dikaitkan dengan kematian berpuluh-puluh kanak-kanak di Gambia.

Terkenal sebagai ‘farmasi dunia’, India membekalkan 45% daripada semua ubat generik ke Afrika.

Bagaimanapun, minggu lalu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan amaran yang meminta pengawal selia menarik keluar barangan Maiden daripada pasaran.

WHO berkata analisis makmal empat produk Maiden termasuk Promethazine Oral Solution, Kofexmalin Baby Cough Syrup, Makoff Baby Cough Syrup dan Magrip N Cold Syrup, mempunyai jumlah dietilena glikol dan etilena glikol yang ‘tidak boleh diterima’.

Hal ini kerana, ia boleh menjadi toksik dan membawa kepada kegagalan buah pinggang kepada pengguna.

Menurut siasatan awal oleh polis Gambia, kematian 69 kanak-kanak akibat kegagalan buah pinggang dikaitkan dengan ubat batuk buatan India dan diimport melalui Atlantic Pharmaceuticals yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Sementara itu, pihak berkuasa India telah melakukan pemeriksaan di kilang utama Maiden sebanyak 4 kali bulan ini.

Ia kemudiannya menggantung semua operasinya pada hari Selasa selepas mendapati firma itu melanggar peraturan dalam pengeluaran dan ujian ubat-ubatannya.

Ketua Penolong Pengarah WHO, Mariangela Simao memberitahu bahawa ia kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa India.

Beliau berkata kesimpulan WHO mengenai kematian yang dikaitkan dengan ubat Maiden adalah berdasarkan analisis beberapa sampel ubat yang digunakan oleh kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat