Ucapan Powell Kekal ‘Dovish’, USD Dijangka Terus Tertekan!

996

Pada penutup dagangan minggu lalu, ucapan oleh Pengerusi Federal Reseve (Fed) Jerome Powell telah diberikan tumpuan susulan pelabur terus ingin menjejaki petunjuk berkenaan dasar monetari bank pusat untuk persediaan dagangan menuju pembukaan tahun 2024.

US dolar terus didagangkan lemah sehingga sesi terakhir minggu lalu dengan ucapan yang disampaikan Powell dilihat masih dalam nada yang berhati-hati.

Pasaran menilai ucapan Powell sebagai isyarat dovish dengan jangkaan bahawa langkah menaikkan kadar oleh Fed telah selesai.

Dapat dilihat keadaan ekonomi sekarang yang semakin perlahan susulan dasar yang diperketatkan ketika ini, namun Powell tetap menyatakan bahawa bank pusat bersedia untuk pengetatan lanjut dasar jika keadaan masih memerlukan.

Ini dilihat terus menyokong unjuran majoriti pasaran sebelum ini bahawa Fed berada di landasan untuk menuju ke arah pelonggaran dasar sehingga tercetus ramalan pemotongan kadar faedah boleh bermula seawal Mac 2024.

Justeru, data-data ekonomi Amerika Syarikat (AS) terbaru akan terus dipantau dengan tumpuan pada minggu ini akan terarah kepada laporan data pekerjaan NFP untuk bulan November.

Walaupun terdapat pemulihan US dolar pada dagangan menuju penghujung minggu lalu, namun penganalisis melihat raja mata wang itu masih berada dalam situasi tekanan.

Oleh itu, mata wang utama yang lain masih ada peluang untuk meningkatkan nilai masing-masing sehinggalah ada petunjuk jelas yang menyokong semula pengukuhan US dolar.

Pound kekal berlegar di paras tertinggi 4 bulan berbanding US dolar, namun Euro dilihat kembali susut minggu lalu selepas capai paras tertinggi sejak Ogos.

Dolar Australia, New Zealand dan Kanada masing-masing berjaya catatkan kenaikan ke paras ketinggian terbaru bersambung pada pembukaan sesi Asia hari ini.

Pasaran komoditi telah berjaya membawa kejutan kepada pelabur di awal minggu ini menyaksikan harga emas melonjak ke paras tertinggi terbaru sepanjang masa.

Sejarah baru tercipta apabila buat pertama kalinya harga emas mencapai puncak sekitar $2,144 mengatasi rekod paras harga terdahulu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat