UEM Edgenta Disenarai Dalam Indeks FBM Emas

176

UEM Edgenta Bhd disenaraikan dalam Indeks EMAS FTSE Bursa Malaysia (Indeks FBM EMAS) berikutan Kajian Separuh Tahunan Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia baru-baru ini yang berkuatkuasa hari ini.

Bernama melaporkan, Indeks EMAS FTSE terdiri daripada konstituen Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia dan Indeks Bermodal Kecil FTSE Bursa Malaysia.

Menerusi kenyataan hari ini, UEM Edgenta berkata, penyenaraiannya dalam Indeks EMAS FBM adalah berdasarkan keupayaan memenuhi syarat keperluan indeks dengan mempunyai lebih 15% saham apungan bebas dan kecairan saham apungan bebas lebih 0.05%, sekurang-kurangnya 10 bulan daripada 12 bulan lepas.

Menurut UEM Edgenta, dengan penyenaraian ini, syarikat tersebut akan turut tersenarai dalam empat indeks bertema iaitu Indeks Syariah Modal MidS FTSE Bursa Malaysia, Indeks Syariah EMAS FTSE Bursa Malaysia, Indeks Bermodal Kecil FTSE Bursa Malaysia dan Indeks Modal MidS FTSE Bursa Malaysia.

“Kami amat teruja dengan dorongan dan minat yang besar daripada pelabur kami yang turut mencerminkan kehadiran syarikat dalam pasaran serta cadangan strategi pelaburan yang semakin berkembang dalam usaha untuk memacu pulangan jangka panjang yang mampan kepada pihak berkepentingan kami,” kata Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin.

Tambah UEM Edgenta, penyenaraian dalam indeks ini membawa UEM Edgenta selangkah lebih dekat untuk mencapai matlamat tersenarai dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia, di mana kriteria pemilihan akan tertumpu terutamanya kepada aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Ujarnya, konstituen Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia akan dikaji semula pada Disember kelak.

“Dengan berpandukan visi Edgenta of the Future 2025, kami menjadikan ia keutamaan untuk kami memainkan peranan yang lebih positif dalam memacu agenda ESG.

“Usaha berterusan kami dalam bidang ini akan memastikan nilai kelestarian dapat dipupuk merentasi seluruh perniagaan dan memberi kesan yang bermakna kepada masyarakat,” kata Syahrunizam.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat