Sentimen pasaran yang agak berisiko pada pembukaan awal minggu ini dilihat memberi kelebihan kepada pergerakan US dolar sebagai mata wang safe-haven.
Dalam pada itu, pelabur kekal berwaspada menantikan beberapa acara penting pada minggu ini terutamanya mesyuarat FOMC awal pagi Khamis nanti.
Beberapa bank pusat lain turut akan mengumumkan kadar faedah masing-masing selain data-data berimpak tinggi yang bakal diterbitkan membuatkan pelabur mengurangkan risiko dagangan masing-masing.
Bank of England (BOE) dijangka untuk menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas, mengikuti jejak langkah bank pusat Kanada (BOC) yang telah melakukannya pada minggu lepas.
Sementara, bank pusat Jepun (BOJ) pula diramalkan untuk menaikkan kadar faedahnya sambil pelabur ingin mendapatkan petunjuk berkenaan langkah campur tangan dalam pasaran yang mencetus pergerakan drastik Yen beberapa minggu kebelakangan ini.
Di sesi New York hari ini, tumpuan akan terarah kepada data keyakinan pengguna Amerika Syarikat (AS) yang bakal diterbitkan pada jam 10 malam waktu tempatan.
Turut akan diterbitkan bersama adalah data pekerjaan JOLTS yang mengukur jumlah tawaran pekerjaan yang dibuka di Amerika pada bulan Jun lalu.
Ini akan menjadi salah satu tumpuan penting pada minggu ini dalam komponen data pekerjaan selain data ADP dan NFP yang akan menyusul di penghujung minggu.
Di sesi Eropah sebentar lagi, data pertumbuhan ekonomi di Eropah termasuk Jerman, Perancis dan lain-lain akan diperhatikan pelabur dan boleh mempengaruhi pergerakan mata wang Euro.