USD Bergerak Suram, Bank Pusat Kanada Pula Bernada ‘Hawkish’

142

Pergerakan harga dalam pasaran kekal tidak menentu khususnya pada mata wang US dolar yang mengalami perubahan di setiap pertukaran sesi pada Rabu semalam.

Selain persoalan terhadap dasar monetari Federal Reserve (Fed) yang tercetus menjelang mesyuarat FOMC minggu hadapan, sentimen pasaran juga memainkan peranan besar dalam menggerakkan harga dalam pasaran semasa.

Setelah pergerakan mendatar di sesi Asia, US dolar bergerak susut di sesi Eropah ketika pasaran memberi tumpuan terhadap laporan perkembangan di China apabila negara tersebut mengumumkan untuk menamatkan dasar sifar-Covid dan akan memperkenalkan kaedah baru dalam mengekang penularan virus.

Namun, US dolar dilihat sedikit mengukuh semula apabila pasaran memasuki sesi New York.

Ini adalah didorong oleh ketegangan perang Rusia-Ukraine semula apabila terbaru, Presiden Vladimir Putin memberi amaran perang nuklear dengan menyatakan senjata nuklear akan digunakan sebagai pertahanan.

Sebelum bergerak lemah, mata wang Euro telah menunjukkan pengukuhan berbanding US dolar di sesi Eropah apabila data pertumbuhan ekonomi Eropah yang dikemaskini untuk suku ketiga memaparkan angka bacaan yang lebih baik.

Keputusan mesyuarat bank pusat Eropah (ECB) pada minggu hadapan akan turut dinantikan bersama-sama mesyuarat FOMC.

Menjadi tumpuan pada sesi New York semalam, Bank of Canada (BOC) membuat kejutan dengan mengumumkan kadar faedah dinaikkan sebanyak 50 mata asas, berbanding jangkaan 25 sebelum ini.

Kadar faedah terbaru meningkat ke paras 4.25% dan penggubal polisi memberi isyarat bahawa bank pusat bakal meneruskan pengetatan dasar monetari.

Menyokong langkah tersebut adalah berdasarkan pemerhatian terhadap pertumbuhan ekonomi Kanada di suku ketiga yang memberangsangkan sementara kadar pengangguran juga berada hampir di paras terendah dalam rekod.

Eksport komoditi Kanada juga dilihat kukuh untuk menyokong pengetatan dasar oleh bank pusat ketika kadar inflasi masih berada di paras 6.9%.

Dagangan emas pula menunjukkan sedikit peningkatan harga pada Rabu semalam ketika US dolar didagangkan suram di sesi Eropah, menyokong harga ke paras $1,790 semula.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat