USD Dah Naik Semula! Apa Sebenarnya Yang Berlaku?

848

Pembukaan dagangan bulan Ogos memperlihatkan US dolar didagangkan stabil setelah kembali mencatatkan kenaikan ketika ditutup akhir minggu lalu susulan pengambilan untung oleh pelabur menjelang hujung minggu dan akhir bulan.

Pada sesi Asia, indeks dolar masih didagangkan di sekitar paras terendah satu bulan berbanding kebanyakan matawang utama, dengan sedikit meningkat pada 92.13.

Dalam pada itu, angka inflasi AS pada bulan Jun dicatatkan lebih lemah daripada dijangkakan, di mana indeks harga perbelanjaan peribadi pengguna (PCE) teras dilaporkan meningkat 3.5% pada bulan Jun daripada jangkaan 3.7%, tetapi sedikit meningkat dari 3.4% dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Presiden Fed St. Louis, James Bullard mengatakan bahawa bank pusat harus mula mengurangkan pembelian bon bulanan $120 bilion pada musim luruh ini dan memotongnya dengan cepat sehingga program ini berakhir pada suku pertama 2022 bagi membuka peluang untuk kenaikan kadar pada tahun itu jika diperlukan.

Matawang Asia, terutamanya dolar Aussie adalah antara yang paling teruk terjejas dengan hampir memadamkan keseluruhan keuntungan yang diraih daripada kelemahan US dolar sebelum ini, disebabkan tekanan Covid-19 di Australia yang semakin meningkat.

Sementara itu, matawang Eropah masih didagangkan stabil walaupun turut mencatatkan penyusutan berikutan kenaikan semula dolar greenback.
Euro didagangkan di sekitar 1.1864 berbanding USD pada sesi Asia, setelah menyentuh harga 1.1900 pada Jumaat berikutan bacaan data pertumbuhan ekonomi tempatan yang melebihi jangkaan pada suku kedua.

Penyusutan yang dicatatkan matawang pound juga tidak ketara, masih disokong oleh prospek lebih kuat terhadap matawang itu, di tengah situasi wabak coronavirus yang bertambah baik di UK.

Tumpuan minggu ini akan tertumpu kepada mesyuarat polisi Bank Pusat Australia (RBA) dan England (BOE), kerana kedua bank pusat akan mengumumkan keputusan dasar monetari. Pada hari Jumaat pula, AS akan menerbitkan laporan pekerjaan NFP bagi bulan Julai.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat