US dolar kembali meraih peningkatan menjelang perdagangan hujung minggu dengan didagangkan lebih kukuh berbanding kebanyakan matawang utama pada sesi Asia.
Pengerusi Federal Reserve (Fed) AS, Jerome Powell memberi keterangan untuk hari kedua mengenai dasar monetari di hadapan Jawatankuasa Perbankan Senat.
Walaupun beliau terus mengeluarkan kenyataan dovish mengenai inflasi sama seperti ucapannya pada hari pertama, tetapi US dolar tetap mempertahankan pengukuhan setelah melihat bacaan data tuntutan pengangguran yang menunjukkan penurunan.
Powell mungkin tidak tergesa-gesa untuk mengurangkan rangsangan dalam dasar monetarinya seperti bank pusat lain, tetapi data AS yang positif mungkin akan memaksanya berbuat demikian.
Pada awal sesi Asia, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding enam matawang utama lain diniagakan positif pada 92.60.
Pengeluaran data jualan runcit AS pada malam ini akan menjadi perhatian seterusnya buat pelabur US dolar yang menjangkakan ia akan menunjukkan peningkatan berbanding bacaan sebelum ini.
Sementara itu, dolar Aussie terus dibawah tekanan susulan lebih banyak penutupan dilaksanakan susulan kes jangkitan kes Covid-19 di New South Wales (NSW) terus menunjukkan peningkatan.
Matawang pound gagal mempertahankan keuntungan yang diraih susulan kenyataan hawkish pegawai Bank of England (BOE), Michael Saunders yang mengatakan mereka akan membincangkan sama ada akan mengurangkan program pembelian aset semasa atau mengambil tindakan dasar lebih lanjut pada tahun depan.