Walaupun Bursa Dibuka Kukuh, Para Pelabur Disaran Berhati-hati

141

Aktiviti pembelian saham nilai rendah selepas bursa tempatan mencatatkan kerugian baru-baru ini, menyaksikan Bursa Malaysia dibuka kukuh pagi ini meskipun pasaran serantau yang lain menunjukkan aliran menurun.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.55 mata atau 0.30 peratus kepada 1,518.50 daripada 1,513.95 ketika ditutup semalam.

Indeks utama dibuka 5.38 mata lebih tinggi pada 1,519.33.

Lapor Bernama, pergerakan harga pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 221 berbalas 99 sementara 276 kaunter tidak berubah, 1,549 tidak diniagakan dan 25 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 345.28 juta unit bernilai RM165.44 juta.

Di pasaran serantau, Nikkei Jepun turun 0.04 peratus kepada 23,497.66, Indeks Komposit Shanghai lebih rendah 0.26 peratus kepada 3,332.18 dan Indeks Komposit KOSPI Korea Selatan jatuh 0.54 peratus kepada 2,348.39.

Walaupun dibuka tinggi pagi ini, Malacca Securities Sdn Bhd mengingatkan bahawa sentimen negatif di keseluruhan pasaran global mungkin boleh menjejaskan dagangan di Bursa Malaysia.

Aktiviti pembelian terpilih dalam kalangan saham murah akan mengekalkan tahap aktiviti yang rancak kerana pelabur akan terus mencari pelaburan dengan perolehan tinggi.

“Secara teknikalnya, trend menurun kepada stabil menyarankan kelemahan seterusnya di bursa dengan sokongan segera pada 1,490 diikuti dengan 1,480.

“Halangan pula ialah pada 1,530 diikuti dengan 1,540,” katanya dalam satu nota hari ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM7.22, Top Glove meningkat lima sen kepada RM9.39, Hartalega menambah empat sen kepada RM18.10, Tenaga menokok dua sen kepada RM10.04 sementara Public Bank tidak berubah pada RM16.10.

Kaunter paling cergas didahului oleh Southern Cable yang meningkat 2.5 sen kepada 36.5 sen, Mah Sing naik 5.5 sen kepada 78 sen, Dataprep dan Luster Industries masing-masing menokok satu sen kepada 15.5 sen dan 15 sen sementara Long Tai lebih tinggi sebanyak setengah sen kepada 15 sen.

Saham paling untung pula termasuk F&N yang meraih 46 sen kepada RM32.86, Carlsberg mengukuh 30 sen kepada RM19.20 dan Heineken 16 sen lebih tinggi kepada RM19.18.

Antara saham paling rugi ialah Pentamaster yang turun sembilan sen kepada RM5.21, Sam Engineering and Equipment menyusut lapan sen kepada RM6.69 dan Samiden lega tiga sen kepada 77.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 35.99 mata kepada 11,013.98, Indeks FBMT 100 menambah 33.93 mata kepada 10,824.25 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 53.27 mata kepada 13,226.54.

Indeks FBM 70 melonjak 51.62 mata kepada 14,605.76 dan FBM ACE melambung 52.50 mata kepada 10,928.35.

Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 14.92 mata kepada 12,478.51, Indeks Perladangan meningkat 9.85 mata kepada 6,922.56 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian memperoleh keuntungan kecil sebanyak 0.15 mata kepada 144.40.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat