Xiaomi Jadi ‘Mangsa Terbaharu’ Trump

1,017

Syarikat pengeluar telefon pintar dan peranti elektronik, Xiaomi Corp mencatatkan penurunan harga saham yang ketara pada sesi dagangan hari ini, selepas pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyenarai hitam Xiaomi kerana didakwa mempunyai hubungan dengan tentera China.

Lapor CNBC Indonesia, situasi itu menyebabkan harga saham syarikat yang berpusat di Beijing itu menyusut sebanyak 9.19% pada pembukaan sesi dagangan hari ini di Bursa Saham Hong Kong.

Menurut Counterpoint Research, Xiaomi merupakan pengeluar telefon pintar ketiga terbesar di dunia pada suku ketiga 2020.

Xiaomi kini dikenakan perintah eksekutif yang diumumkan oleh Trump pada November lalu, yang menyekat para pelabur AS daripada membeli saham atau sekuriti daripada syarikat-syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan ketenteraan China.

Para pelabur juga dipaksa untuk melepaskan atau menjual kepentingan saham mereka daripada firma-firma China yang disenarai hitam.

Xiaomi sehingga kini masih belum mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

Syarikat terbabit adalah salah satu daripada sembilan entiti yang didakwa terlibat dengan ketenteraan China.

Terdahulu, firma pengeluar pesawat China, Comac serta syarikat teknologi gergasi seperti Huawei turut disenarai hitam.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, tiada tanda-tanda bahawa hubungan perdagangan antara AS dan China akan bertambah meskipun Trump digantikan oleh Joe Biden pada 20 Januari kelak.

Semalam, AS meningkatkan sekatan terhadap firma-firma China atas tindakan mereka di wilayah pertikaian, Laut China Selatan. Malahan AS juga mengenakan larangan pelaburan di sembilan syarikat China.

Menurut laporan AFP, Jabatan Perdagangan AS secara rasmi meletakkan syarikat minyak China iaitu CNOOC dalam ‘senarai hitam’ pelaburan.

Sementara itu, Jabatan Negara AS mengehadkan visa kepada eksekutif syarikat dan juga sejumlah pegawai kerajaan serta tentera China.

“Tindakan sembrono dan agresif China di Laut China Selatan serta perlakuan agresifnya untuk memperoleh harta intelek dan teknologi yang sensitif untuk keupayaan ketenteraannya merupakan ancaman terhadap keselamatan nasional AS dan keselamatan masyarakat antarabangsa,” kata Setiausaha Perdagangan, Wilbur Ross.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat