100 PIPS Dalam Masa 5 Minit NZD/USD Mencanak

1,033

Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) menepati ramalan pasaran apabila mengekalkan kadar faedah pada paras 1.75% tidak berubah pada mesyuarat dasar monetari pada jam 9 sebentar tadi. Nilai matawang Kiwi melonjak berbanding pasangan matawang utama yang lain disokong juga oleh sentimen pasaran semasa yang memihak pada matawang berpulangan tinggi. Diperhatikan pergerakan harga pada chart NZD/USD, harga telah melonjak 100 pips dalam masa 5 minit sahaja.

Pasaran buruh di New Zealand berada pada tahap yang stabil. Bank pusat dijangka akan terus mengekalkan kadar faedah pada paras tersebut untuk tahun 2019 dan 2020 dengan tiada isyarat yang kukuh untuk langkah yang seterusnya. Paras tersebut dilihat penting untuk dikekalkan untuk satu tempoh masa tertentu bagi mendorong kepada kestabilan pasaran buruh di samping mengekalkan kadar inflasi pada tahap yang disasarkan.

Dolar USD kembali mengalami kejatuhan pada nilai dagangannya setelah sentimen pasaran kembali pulih (risk-on) berikutan perkembangan positif pada rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China. USD sebelum ini telah mengekalkan pengukuhannya selama lapan sesi berturut-turut sehingga penghujung Isnin, iaitu siri kenaikan harga paling lama sejak Februari 2017 yang lalu.

Presiden Donald Trump pada Selasa menyatakan bahawa beliau boleh saja biarkan tarikh akhir perjanjian perdagangan pada 1 Mac itu dilanjutkan, namun beliau tidak mahu berbuat demikian dan menjangka akan bertemu rakan sejawatannya dari China, Presiden Xi Jinping untuk mencapai kata sepakat.

Pegawai perundingan tinggi Trump dan juga Setiausaha Perbendaharaan telah tiba di ibu negara China pada Selasa untuk rundingan tahap tinggi minggu ini di mana dua ekonomi gergasi dunia itu akan berusaha untuk mencapai kesepakatan dalam perdagangan dalam usaha untuk melindungi rahsia perdagangan Amerika dan juga untuk mengelakkan kenaikan seterusnya tarif ke atas barangan China.

Penganalisis pasaran melihat faktor ekonomi China yang tidak begitu memberangsangkan akan mendorong China untuk mendapatkan keputusan yang positif dalam rundingan dan melihat Amerika Syarikat memiliki sedikit kelebihan.

Matawang safe-haven yang lain seperti Swiss franc dan Yen juga turut terkesan daripada sentimen pasaran semasa ini berikutan pelabur mula beralih ke arah pasaran yang lebih berisiko dan memberikan pulangan yang lebih tinggi.

Dalam perkembangan Brexit pula, Perdana Menteri Britain, Theresa May pada Selasa telah menyatakan bahawa kerajaan akan mencari jalan untuk mempercepatkan proses pengesahan perjanjian Brexit bersama Kesatuan Eropah dengan masa yang semakin suntuk. Matawang Pound Sterling melonjak dari paras terendah tiga minggu dagangan berbanding dolar USD semalam ekoran kenyataan positif PM May. Namun, pelabur masih melihat dagangan Sterling adalah berisiko dengan bacaan kadar inflasi Britain pula akan dikeluarkan pada jam 5.30 petang ini.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat