Token Cardano, ADA terus menampakkan kilauannya menjadi matawang kripto keempat paling berharga selepas Tether (USDT), mengatasi Polkadot (DOT) yang kini berada di kedudukan kelima.
Pagi tadi, ADA mencatatkan harga $0.90, membawa nilai permodalan pasaran mencecah lebih $28 bilion selepas lonjakan 31% pada minggu lepas.
Pada bulan lepas, permodalan pasaran Cardano meningkat 137% disusuli dengan pergerakan positif sejak 3 Februari lalu, ketika harga $0.44.
Walaupun beberapa hari lalu ADA melepasi harga $0.95 dan sedikit susut selepas itu, token itu masih berjaya mengekalkan kebanyakan nilainya.
Ini menjadikan ADA kekal pada momentumnya untuk lebih daripada seminggu.
Pada Januari, ADA hanya bernilai $0.35. Kemudian pada awal Februari, pengarah pemasaran dan komunikasi IOHK, Tim Harrison, memberitahu Cardano akan beralih menjadi blockchain multi-aset (MA), membuka lebih banyak kebarangkalian dan ADA masih kekal sebagai matawang utama Cardano.
Cardano akan membenarkan pengeluaran ‘Native Tokens’ oleh pengguna di blockchain pada hujung Februari ini.
Ketika penulisan, ADA didagangkan pada $0.88, meningkat 22.78% dalam 24 jam. Rekod permodalan pasaran kini mencatat nilai pada $27.5 bilion.