Euro Dollar dibuka sekitar 1.2100 hari ini selepas pasaran ditutup Khamis semalam sempena cuti tahun baru 2015. Pasaran yang terus merudum Rabu lalu, dengan kejatuhan hampir 70 mata, menjadikan nilai tukaran EUR|USD berada pada paras terendah untuk 2014. Krisis politik di Greece menjadikan pasaran gusar tentang nasib matawang Kesatuan Eropah itu, lantaran spekulasi “Grexit” kembali menghantui pasaran.
Pada masa yang sama, jangkaan pasaran terhadap program ransangan ekonomi ECB yang dijangka bermula seawal minggu depan turut menghilangkan minat pembeli terhadap euro. Dollar yang terus menguasai pasaran lantaran dari keputusan Federal Reserve AS untuk menaikkan “interest rate” seawal April ini, menjadikan ianya prestasi terbaik semenjak 2005. Euro dijangka terus menyusut ke serendah 1.1500 berbanding Dollar tahun 2015 ini, menurut para penganalisa di BNP Paribas.
Hari ini, pasaran dijangka memihak kepada Euro dengan beberapa negara EU seperti Sepanyol, Itali, Perancis, Jerman dan Greece yang bakal melaporkan “manufacturing PMI” mereka, yang rata-ratanya dijangka bertambah baik kecuali Sepanyol; berbanding data yang sama dari Amerika Syarikat yang dijangka meleset.