Dollar Yen terus berada dalam dagangan ‘ranging’ Selasa semalam, dengan pergerakan tidak melebih 50 pips; dari paras tertinggi harian sekitar 121.51 ke serendah 121.10; selepas pasaran dilihat lebih suka mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap mesyuarat FOMC awal pagi Khamis nanti. Ketika artikel ini ditulis, nilai tukaran USD|JPY sedang berlegar-legar sekitar pivot mingguan – 121.35
Semalam Bank of Japan membuat keputusan, untuk terus mengekalkan polisi kewangannya dan mengatakan inflasi dijangka terus merendah dalam masa terdekat, ekoran kejatuhan harga minyak mentah. Di Amerika Syarikat pula, data “building permits” bulanan meningkat kepada 1.09 juta berbanding 1.06 juta jangkaan dan sebelumnya.
Keadaan yang menunjukkan pertambahan permit bangunan baru yang diluluskan untuk dibina itu, sekaligus menandakan ekonomi AS yang semakin baik. Walau bagaimanapun, “housing starts” atau bangunan yang telah dimulakan pembinaannya mengurang kepada 900 ribu berbanding 1.05 juta jangkaan dan 1.08 juta pada sebelumnya.
Tiada sebarang data berimpak tinggi dari Jepun hari ini. Awal pagi Khamis nanti, mesyuarat FOMC Federal Reserve yang ditunggu-tunggu bakal berlangsung. Pasaran dijangka terus ranging sehingga itu.