Dollar Yen berada dalam dagangan ‘ranging’ Khamis semalam, dari paras tertinggi harian sekitar 124.65 ke serendah 123.75 sebelum menutup sekitar paras 124.35; selepas ucapan dari Gabenor Bank of Japan Haruhiko Kuroda. Dollar Amerika Syarikat kelihatan lemah sebelum siaran data NFP malam ni, tetapi mampu mendaki sekitar 20 pips pada awal sesi Asia.
Di pasaran Amerika Syarikat, pekerjaan sektor swasta pada Mei meningkat 201 ribu dari bulan April, yang paling banyak dalam masa empat bulan dan sedikit daripada anggaran, menurut laporan ADP. Tuntutan bantuan pengangguran pula jatuh kepada 276 ribu dari 284 ribu pemohon sebelum ini, malah lebih baik dari jangkaan sebanyak 280 ribu.
Di pasaran Jepun, Perdana Menteri Shinzo Abe dan Gabenor BoJ Haruhiko Kuroda bertemu minggu ini, bagi membincangkan ekonomi global di tengah-tengah kejatuhan nilai Yen ke paras yang paling lemah berbanding Dollar sejak 2002. Gabenor Bank of Japan Haruhiko Kuroda berkata, kadar mata wang mencerminkan asas-asas sebenar ekonomi Jepun dan kestabilan harga adalah matlamat bank pusat Jepun. Tetapi sesetengah ahli ekonomi dan ahli politik telah menyatakan kebimbangan mengenai kelemahan Yen yang melampau boleh menjejaskan kuasa membeli rakyat Jepun.