Matawang GBP (Great Britain Pound) melonjak sejak pukul 4.30 petang pada Rabu selepas data pertumbuhan ekonomi merekod kenaikan pada suku ketiga 2017.
Pertumbuhan ekonomi (GDP) naik 0.4% pada tempoh tersebut berbanding suku kedua tahun ini, manakala dari segi tahunan juga merekod bacaan positif. Data positif pada hari ini dilihat menyokong kepada kenaikan kadar faedah Bank of England (BoE) seterusnya telah menolak GBP/USD lebih tinggi pada hari ini.
Setakat pukul 8.00 malam pada Rabu, pasangan matawang GBP/USD naik sehingga 150 pip dan GBP/JPY naik 200 pip.
Sudah tentu data kali ini menyokong kenaikan kadar faedah BoE minggu depan. Untuk pengetahuan anda kali tarakhir bank pusat menurunkan kadar dari 0.50% kepada 0.25% adalah pada Ogos 2016 yang disebabkan kebimbangan terhadap Brexit ketika itu.
Bank pusat tahun lalu menjangka Brexit akan membawa banyak kesan negatif kepada ekonomi, namun ia tidaklah berlaku seperti yang dijangka dan ini juga boleh mendorong untuk bank pusat menaikkan kadar faedahnya minggu depan.
Antara yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi UK pada suku ketiga adalah indeks perkhidmatan dan pembuatan yang terus meningkat. Peningkatan ini menunjukkan kesan Brexit kepada ekonomi itu semakin berkurangan. Untuk pengetahuan anda nilai Sterling yang lebih murah berbanding tahun lalu juga banyak meningkatkan permintaan luar terhadap perkhidmatan dan barangan daripada UK.
Setakat ini, dengan data GDP yang menyokong kenaikan kadar BoE, kecenderungan matawang GBP masih dilihat ke atas. Namun, sebagai ‘retail trader‘, kita juga perlu melihat perkembangan dalam rundingan Brexit dari masa ke semasa.
Kebimbangan terhadap rundingan Brexit juga masih menjadi faktor negatif kepada GBP, di mana majoriti perniagaan dan pelabur di UK mahu perjanjian dimeterai dengan lebih pantas khususnya tentang ‘tempoh peralihan’ selepas UK keluar dariapda Kesatuan Eropah.
Apa yang perlu dilihat di sini adalah semakin lama tempoh rundingan yang diambil akan semakin menimbulkan kebimbangan terhadap pelabur dan perniagaan tentang masa depan perniagaan mereka. Hal ini berpotensi menekan matawang GBP kerana sikap pemain pasaran yang akan menangguhkan aktiviti pelaburan mereka sehinggalah situasi semakin jelas.