Pasaran minyak stabil pada pembukaan sesi dagangan Eropah hari Rabu, menghampiri paras tertinggi empat minggu lalu yang berjaya dicapai semalam berikutan pengeksport terbesar Arab Saudi berazam dan teguh untuk menghentikan lebihan bekalan minyak global.
Harga minyak Brent yang menjadi indikator kepada harga antarabangsa naik 16 sen atau 27% kepada $58.49 setakat jam 3.10 petang. Brent tutup dengan peningkatan 1.7% atau 96 sen pada hari Selasa yang lalu.
Minyak West Texas Intermediate (WTI) pula didagangkan di paras $52.41, susut 6 sen atau 0.11% setakat jam 3.10 petang.
Menteri Tenaga Arab Saudi, Khalid al-Falih berkata tumpuan masih lagi ke arah pengurangan bekalan minyak dalam industri negara ke paras purata 5 tahun, dan akan meningkatkan lagi prospek untuk mengekang pengeluaran minyak lebih lama selepas perjanjian had pengeluaran minyak OPEC tamat tahun depan.
Organisasi Negera Pengeksport Petroleum (OPEC) bersama Rusia dan 9 pengeluar utama lain telah berjanji menghadkan pengeluaran kepada 1.8 juta tong sehari (bdp) sejak Januari lalu dan bakal tamat pada Mac 2018. Mereka dijangka akan melanjutkan lagi tempoh perjanjian sehingga akhir tahun depan.
Menurut Tony Nunan, pengurus risiko minyak di Tokyo, OPEC bersungguh-sungguh untuk mengurangkan pengeluaran bekalan minyak. Manakala pengeluaran minyak syal melantun naik kembali walaupun masih perlahan. Namun pasaran masih lagi kukuh.
Institut Petroleum Amerika (API) semalam melaporkan bekalan minyak U.S meningkat sebanyak 519,000 pada minggu lalu berbanding jangkaan penganalisis yang menjangkakan kejatuhan sebanyak 2.6 juta tong.
Inventori minyak gas jatuh sebanyak 5.8 juta tong jauh daripada jangkaan penganalisis yang menjangkakan hanya jatuh sebanyak 17 000 tong.
Laporan rasmi daripada EIA akan dikeluarkan pada jam 10.30 malam ini.
Selain itu, turut mendorong peningkatan harga minyak ialah disebabakan gangguan bekalan eskport daripada Iraq yang merupakan pengeluar kedua terbesar OPEC.
Menurut Tony Nunan, situasi di Iraq mendorong peningkatan harga , namun situasi ini berbeza dengan situasi sebelumnya, kerana lebih tinggi harga meningkat, lebih banyak minyak syal melonjak naik.