Keyakinan dalam sektor perniagaan di Malaysia meningkat pada suku pertama tahun 2017 berikutan kenaikan harga komoditi dan juga prospek perdagangan negara secara keseluruhan, menurut tinjauan yang dibuat oleh Global Economic Condition Survey.
Tinjauan yang dibuat dalam kalangan professional termasuk Ketua Eksekutif Kewangan global itu juga menunjukkan kebimbangan kepada turun-naik Ringgit terhadap perniagaan di Malaysia.
Ketika ini sentimen ekonomi global berada di paras tertinggi sejak 2015 berikutan pemulihan ekonomi yang berterusan.
“Prestasi memberangsangkan ini banyak disokong oleh keyakinan di Amerika Utara dan memberi kesan kepada kebanyakan negara maju dan negara baru membangun. Kadar pertumbuhan semakin pantas dalam perdagangan global sejak tahun 2015,” menurut tinjauan tersebut.
Kata ketua ACCA Malaysia Jeyasothy Palakrishnar, walaupun peningkatan keyakinan ini masih kecil, ia juga memberi kesan kepada pertumbuhan positif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan juga prospek perdagangan antarabangsa.
“Peningkatan dalam ekonomi ini juga menunjukkan kerajaan yang terus menyokong pertumbuhan melalui pelaburan dan perbelanjaan seterusnya melonjakkan keyakinan dalam ekonomi.”
Tinjauan ini juga mendapati kebimbangan terhadap inflasi memberi tekanan kepada ekonomi global dengan 46% daripada firma melaporkan kenaikan kos yang membimbangkan mereka.
Selain itu, masih ada ketidaktentuan yang memberi risiko kepada ekonomi global terutamanya dasar-dasar pentadbiran Amerika Syarikat di masa hadapan, potensi krisis perbankan Zon Eropah, pilihanraya di beberapa negara penting Eropah dan juga Brexit.
Ketika ini, kebimbangan terhadap perkara-perkara tersebut disedari oleh semua pihak dan prospek peningkatan perbelanjaan kerajaan di kebanyakan negara maju menggambarkan ekonomi yang memberangsangkan dalam jangka pendek.