Pasaran minyak mentah terus dipengaruhi oleh keputusan OPEC dalam mesyuarat pada Khamis. Selepas keputusan OPEC melanjutkan pemotongan bekalan sehingga sembilan bulan, harga minyak mentah masih dilihat berada di bawah tekanan sehingga kini.
Tekanan terhadap pasaran ini dipercayai disebabkan kekecewaan pasaran kerana jumlah pemotongan yang kurang dari harapan pasaran ditambah lagi dengan tiada lagi negara bukan-OPEC menyertai perjanjian ini. Hal ini dilihat akan membebankan Rusia yang bertanggungjawab mewakili pengurangan dari negara-negara bukan OPEC.
Perjanjian tersebut walaubagaimanapun menepati jangkaan pasaran di mana harga minyak mentah telah menyerap pemotongan sehingga sembilan bulan sejak minggu lalu. Di mana situasi seperti ini suda ‘priced-in‘ dan apabila ia diumumkan secara rasmi, harga jatuh yang menepati situasi yang disebut sebagai “buy the rumour sell the fact“.
Sejak pengumuman OPEC pada Khamis, minyak mentah masih gagal memulih dari kejatuhan hampir $3 setong. Kini minyak WTI didagang di sekitar $48.67 setong manakala minyak Brent di sekitar $51.44 setong.
Keadaan terkini US dolar yang mudah dipengaruhi oleh sentimen politik memberi sedikit sokongan kepada harga minyak, walaubagaimanapun ia diseimbangkan oleh sentimen buruk pasaran minyak yang lebih dominan.
Pasaran melihat pengurangan sehingga sembilan bulan ini akan membuka peluang kepada pengeluar-pengeluar minyak dari US untuk meningkatkan pengeluaran. Hal ini akan menjadi penghalang kepada OPEC untuk menstabilkan semula pasaran ke paras yang optimum.