Amerika Syarikat akan mengeluarkan data awal pertumbuhan ekonomi pada pukul 8.30 malam ini. Jangkaan pasaran melihat ekonomi US berkembang pada kadar tahunan sebanyak 1.1% pada suku pertama 2017 rendah berbanding yang direkod pada suku keempat 2016 iaitu 2.1%.
Pertumbuhan pada suku ketiga naik 3.5% dan berkembang sebanyak 1.6% sepanjang tahun 2016 yang merupakan kadar terendah sejak 2011.
Jika dibandingkan dengan kadar pertumbuhan purata ekonomi US sepanjang 1950-2000 jauh lebih tinggi dengan 3.7%. Tempoh pentadbiran Presiden Bush dari 2001-2008 merekodkan pertumbuhan 2.1%, manakala Presiden Obama hanya berjaya merekodkan pertumbuhan ekonomi US 1.5%. Kini Presiden Trump berjanji untuk menaikkan semula pertumbuhan melebihi 3%.
Ramalan ekonomi yang dibuat oleh The Fed cawangan New York dan Atlanta sebelum ini mengeluarkan laporan yang jauh berbeza.
The Fed NY sebelum ini meramal pertumbuhan 2.7% manakala The Fed Atlanta hanya menjangka kenaikan sebanyak 0.2% yang jauh berbeza.
Dalam data terkini US, kita melihat data yang agak mengecewakan dalam pasaran pekerjaan, jualan runcit, dan inflasi yang menyebabkan pemain pasaran mengurangkan sedikit jangkaan positif mereka terhadap ekonomi US. Pelabur juga dilihat mengurangkan jangkaan dua lagi kenaikan kadar tahun ini.
Kini pasaran hadapan Fed Fund Future menunjukkan kenaikan kedua kadar tahun ini akan berlaku pada Jun dengan kebarangkalian sebanyak 65%, tetapi potensi kenaikan ketiga hujung tahun ini hanya 44%.
Tetapi Naib Pengerusi The Fed Stanley Fischer sebelum ini menyangkal jangkaan dua kali kenaikan tahun ini dan menegaskan kelemahan ekonomi pada suku pertama hanyalah sementara dan tiga kenaikan kadar tahun ini akan berjalan seperti biasa.