Jabatan Buruh AS melaporkan jumlah tuntutan faedah/insurans pengangguran (Jobless claims) pada minggu lepas kekal tidak berubah dengan tiada pertambahan jumlah tuntutan pengangguran.
Jumlah individu yang membuat tuntutan faedah/insurans pengangguran pada minggu lepas bagi minggu berakhir pada 15 Disember tidak berubah dari 245,000.
Penganalisis menjangkakan jumlah tuntutan faedah/insurans pengangguran berkurangan kepada 240,000.
Minggu lalu juga adalah minggu ke-147 tuntutan pengangguran berada di bawah 300,000 yang mana menunjukkan kukuhnya pasaran pekerjaan Amerika Syarikat.
Jumlah penganggur yang terus mendapat faedah pengangguran meningkat ke paras 1.943 juta naik dari 1.936 juta sebelum ini yang mana dikaji semula dari 1.932 juta.
Tiada pergerakan signifikan oleh US dolar selepas data ini dikeluarkan. Indeks yang mengukur kekuatan matawang greenback ini susut 0.33% setakat ini.
Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang pertumbuhan ekonominya banyak disumbangkan oleh perbelanjaan domestik. Bagi meningkatkan perbelanjaan domestik, pasaran buruhnya mestilah dalam keadaan optimum. Untuk melihat keadaan optimum dalam pasaran buruh, kadar pengangguran haruslah berada di bawah dan tidak melebihi 5%.
Data pekerjaan bagi negara seperti AS adalah sangat penting bagi menentukan ekonomi AS sedang berada dalam keadaan baik ataupun sebaliknya.
Sepertimana pasaran memberi perhatian kepada data NFP (non-farm payroll) setiap bulan, data ini juga menggambarkan keadaan pasaran buruh semasa di AS.