Matawang Aussie dijangka akan mengakhiri dagangan minggu ini dengan penurunan. Secara keseluruhan AUD didagangkan lebih rendah setakat ini berbanding kedudukan pada Isnin.
Pergerakan matawang Aussie lebih banyak dipengaruhi oleh sentimen berisiko sama seperti minggu lalu. Sentimen Risk-off atau Risk-Aversion di mana pasaran mengelak daripada aset yang berisiko telah menyebabkan AUD tertekan sepanjang minggu ini khususnya dalam isu perdagangan global.
Pasaran semakin bimbang dengan perang perdagangan global apabila beberapa siri ancaman tercetus antara AS-China terutamanya apabila Presiden China Xi Jinping mengarahkan pegawai-pegawainya untuk bersedia dengan perang perdagangan berskala besar pada hari Rabu. Ia sekaligus telah memberi tekanan kepada AUD dan memberi faedah kepada matawang Yen sebagai safe-haven.
Bukan itu sahaja, kejatuhan AUD juga dipengaruhi oleh tindakan bank pusat China yang menurunkan nilai Yuan. Secara teorinya, pengurangan nilai Yuan akan menjadikan barangan dari Australia menjadi semakin mahal dan memberi kesan kepada permintaan eksport dari China. Penurunan nilai Yuan juga telah menyebabkan kejatuhan harga komoditi dan menambah tekanan kepada AUD.
Matawang AUD sedikit pulih pada hari Khamis apabila White House mengumumkan keputusan Amerika terhadap dasar perlindungan teknologi. Presiden Trump yang membuat keputusan untuk tidak bertindak keras kepada China dalam isu perdagangan dua hala. Ia sekaligus telah meredakan kebimbangan pelabur dalam perkara ini.
White House tidak akan menghalang syarikat yang dimiliki 25% atau lebih oleh China daripada membeli teknologi dari Amerika Syarikat, tetapi kerajaan akan bergantung kepada Jawatankuasa Pelaburan Asing Amerika Syarikat (CFIUS) untuk menyelia pelaburan asing di negara itu agar teknologi mereka terus terpelihara.
Matawang AUD meneruskan pemulihannya dalam sesi dagangan hari Jumaat.