Matawang Aussie (AUD) berpotensi mengakhiri minggu ini sebagai matawang kedua terkuat sekaligus merekodkan kenaikan tiga minggu berturut-turut.
Komoditi emas membuat kenaikan yang meyakinkan pada minggu ini disebabkan ketidaktentuan geopolitik. Jelas ada beberapa pair AUD yang bergerak seiring dengan pergerakan emas. Walaubagaimanapun, ada sesetengah tempoh yang menunjukkan pergerakan yang tidak seiring jika kita membandingkan pergerakan emas dan pair AUD secara teliti.
Perbandingan yang dibuat antara emas dan AUD ini bukanlah bermakna terdapat korelasi (correlation) yang begitu kuat kepada kedua-duanya. Seperti orang selalu katakan, “Bila emas membuat kenaikan, AUD juga cenderung meningkat.” Ini salah sama sekali, kerana ada banyak lagi faktor yang menggerakkan matawang AUD seperti pergerakan harga komoditi biji besi, kuprum, data ekonomi China, sentimen berisiko, politik dan geopolitik.
Sebagai contoh, emas melemah pada Isnin sebelum membuat kenaikan pada sesi London, tetapi matawang AUD telah pun menguat sejak awal sesi Asia. Pengukuhan AUD adalah disebabkan sentimen pasaran yang baik (Risk-On) pada masa itu.
Pergerakan matawang AUD menjadi tidak menentu pada Selasa dan Rabu berikutan beberapa risiko yang timbul dalam pasaran termasuk isu perdagangan global. Dalam masa yang sama kita dapat lihat matawang AUD melemah berbanding safe-haven Yen dan CHF.
Matawang Aussie cuba membuat kenaikan semula pada Khamis selepas laporan minit mesyuarat FOMC dikeluarkan. Namun, kenaikan AUD terhad, disebabkan sentimen yang berisiko pada Khamis, apabila Trump mengarahkan siasatan terhadap import automobil dan rancangan untuk mengenakan cukai import kereta sehingga 25%. Sentimen menjadi semakin buruk pada awal sesi New York apabila Trump menimbulkan risiko geopolitik dengan membatalkan pertemuan bersama Kim Jong-Un.
Namun, AUD dilihat menguat semula pada Jumaat apabila Kim Jong-Un berkata bahawa mereka terbuka untuk menyelesaikan isu dengan Amerika Syarikat.