US dollar membuat pemulihan pada sesi New York hari Rabu dengan pasaran Amerika Syarikat ditutup bersempena dengan hari kemerdekaan. Dengan penutupan ini, fokus pasaran akan beralih kepada beberapa data dan berita penting yang bakal diumumkan pada Khamis dan Jumaat.
Berkaitan Amerika, pasaran akan memberi perhatian kepada minit mesyuarat FOMC dan data pekerjaan NFP yang akan dikeluarkan pada Jumaat.
Selain itu, pasaran juga terus meneliti perkembangan isu perdagangan pada Jumaat di mana Amerika akan menguatkuasakan tariff terhadap $34 billion produk China.
Indeks US dollar yang mengukur kekuatan matawang greenback berbanding beberapa matawang lain pulih pada sesi New York dengan hanya merekodkan kejatuhan 0.03% setakat pada pukul 9.50 malam.
Major pair seperti EUR/USD setakat ini jatuh 0.15% dengan GBP/USD naik 0.11%. USD/JPY setakat ini pula susut 0.06%, USD/CAD naik 0.05% dengan USD/CHF hanya naik 0.03%. Pair AUD/USD hampir tidak berubah dengan hanya susut 0.03% setakat ini, manakala NZD/USD naik 0.03%.
Matawang paling kuat setakat ini adalah GBP dan matawang paling lemah adalah Euro. Dengan menggabungkan matawang paling kuat dan lemah, pair EUR/GBP merekodkan kejatuhan sebanyak 0.27% setakat ini.
GBP menjadi matawang terkuat setakat pada hari Rabu selepas data penting ekonomi UK yang memberangsangkan. Aktiviti dalam sektor perkhidmatan UK pada bulan lalu meningkat ke paras tertinggi sejak Oktober tahun 2017 menurut laporan yang dikeluarkan pada pukul 4.30 petang tadi.
Firma penyelidikan Markit mengumumkan bacaan indeks PMI sektor perkhidmatan UK naik ke paras 55.1 pada bulan Jun berbanding 54.0 yang dicatatkan pada Mei. Jangkaan pasaran untuk data kali ini adalah 53.9. Pasangan matawang GBP/USD sejak pukul 3 petang tadi dilihat tertekan sebelum pulih semula dan membuat kenaikan selepas indeks sektor perkhidmatan merekodkan bacaan yang memberangsangkan.