Matawang USD masih menjadi tumpuan para pelabur menjelang data pekerjaan NFP pada Jumaat ini yang dijangka positif setelah data pekerjaan ADP yang dikeluarkan semalam mencatatkan angka yang meningkat. Laporan tersebut menunjukkan peningkatan pada pendapatan sektor swasta di AS di paras tertinggi sejak lapan bulan pada Oktober.
Dalam perkembangan yang lain, Pound Sterling melonjak semalam setelah Setiausaha Brexit Britain, Dominic Raab mengatakan persetujuan Brexit bakal dicapai pada penghujung November ini. Namun, tumpuan pasaran terarah kepada laporan inflasi suku tahunan yang akan dikeluarkan dan juga pengumuman dasar monetari oleh Bank of England (BOE) hari ini. Pasaran menjangkakan kadar faedah akan dikekalkan namun berkemungkinan akan terdapat perubahan dalam unjuran ekonomi.
Ketegangan perang dagang yang berlarutan di antara AS-China turut memberi kebimbangan terhadap Yen apabila Gabenor Bank of Japan Kuroda mengatakan isu perang dagang yang berterusan akan turut memberi impak terhadap sentimen perniagaan dan juga ekonomi di negara mereka.
Pasaran minyak mentah merudum setelah tinjauan Reuters mendedahkan pengeluaran minyak oleh OPEC meningkat kepada 390K tong sehari walaupun terdapat kekangan pengeluaran di Iran dan Venezuela.
Akhir sekali, matawang AUD melonjak tinggi dalam suasana pasaran yang stabil ditambah lagi dengan pengukuhan data imbangan dagangan di Australia sekaligus meredakan kebimbangan mengenai pertumbuhan yang perlahan di China iaitu rakan dagang terbesar Australia.