Matawang Euro pada sesi Eropah didagangkan positif pada hari ini. Ianya disebabkan oleh laporan bahawa Itali mungkin akan mengkaji semula draf belanjawannya untuk 2019 sekaligus berpotensi untuk mengurangkan konflik dengan Kesatuan Eropah. Tambahan lagi, Menteri Dalam Negeri Itali, Matteo Salvini dilaporkan menawarkan untuk berunding mengenai krisis ini, satu langkah yang juga menyokong pergerakan Euro pada hari ini.
Sementara itu, AS dolar mendapat permintaan oleh pelabur dari awal pembukaan sesi Eropah dalam suasana pasaran yang goyah akibat kebimbangan mengenai pertumbuhan global dan perang perdagangan antara AS-China. Walaupun terdapat komen-komen yang negatif daripada beberapa pegawai Federal Reserve berkenaan pertumbuhan ekonomi AS, namun pelabur tetap tertarik ke atas kadar pulangan pelabur di Amerika Syarikat buat masa sekarang.
Dalam perkembangan di Kanada, CAD merosot kepada empat bulan terendah berbanding Dolar kerana harga minyak mentah menurun ke paras terendah dalam tempoh lebih daripada satu tahun. Sektor perkilangan China yang menurun akibat perang perdagangan dengan Amerika Syarikat berpotensi untuk mengurangkan permintaan terhadap minyak mentah. Memandangkan China antara pengimport minyak mentah terbesar dunia, sentimen ini dapat mengancam indeks minyak mentah global.
Selain itu, perundingan Brexit dan ketidaktentuan politik di Britain masih menjadi faktor dominan yang mempengaruhi nilai matawang Sterling dan terus memberi kebimbangan terhadap para pelabur. Perdana Menteri Theresa May dilihat bergelut untuk terus mendapatkan pengesahan draf perjanjian Brexitnya setelah terpaksa berdepan dengan bantahan dalaman dan juga penentangan dalam undian parlimen.