Matawang USD terus didagangkan perlahan sejak semalam pada paras terendah sejak 7 hari berikutan sentimen pasaran yang kembali pulih selepas terdapat tanda-tanda Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sedang berusaha untuk menyelesaikan isu perang perdagangan bersama China.
Disamping itu, perkembangan positif mengenai perang dagang AS-China turut menyokong matawang yang mempunyai hasil pulangan yang tinggi seperti AUD dan NZD. Tambahan lagi, atas faktor rakan dagang terbesar antara Australia dan China, sebarang perubahan pada ekonomi di China akan memberi impak yang terus terhadap negara Australia.
Menjelang pembukaan sesi dagangan New York, pasaran didagangkan agak berhati-hati ke arah data buruh di Amerika Syarikat yang akan dikeluarkan pada pukul 8:30 malam nanti. Komponen yang menjadi tumpuan pelabur dalam data ini adalah kadar pengangguran dan purata pendapatan yang boleh memberi kesan kepada bacaan inflasi di AS pada masa akan datang.
Turut menjadi tumpuan juga adalah data pekerjaan Kanada yang akan dikeluarkan bersama data buruh Amerika Syarikat. Data ini dijangka mencatatkan bacaan yang rendah ekoran terdapat penurunan pada indeks pekerjaan IVEY PMI.
Indeks DXY yang mengukur kekuatan matawang Greenback berbanding tujuh matawang yang lain menurun 0.24% setakat 6.30 petang.
Major pair seperti EUR/USD setakat ini membuat kenaikan 0.32%, dimana GBP/USD didagangkan menaik 0.15%. USD/JPY pula mendaki 0.09% dengan USD/CAD didagang 0.25% lebih rendah. USD/CHF pula didagang melemah pada 0.38. Pair AUD/USD dan NZD/USD masing-masing didagangkan positif 0.58% dan 0.32%.