Pasaran telah maklum Bank of England (BoE) mengekalkan kadar faedahnya pada Khamis dengan komen yang lebih hawkish. BoE khususnya Gabenor Carney mengatakan kadar faedah mungkin akan dinaikkan lebih awal daripada jangkaan. Inilah sebab lonjakan matawang GBP pukul 8 malam tadi.
“Dengan ekonomi mengukuh dan pertumbuhan UK melebihi had, kami menjangka untuk mengurangkan sokongan kepada ekonomi bagi membawa inflasi ke paras 2% semula,” jelas Carney. Komen ini bermaksud akan menaikkan kadar faedah untuk mencapai sasaran inflasi 2%.
Carney juga menegaskan ekonomi bergerak sejajar dengan unjuran laporan inflasi yang dibuat pada Februari di mana polisi monetari perlu diketatkan lebih awal berbanding unjuran November lalu.
Apabila ditanya secara lebih lanjut oleh wartawan tentang kenaikan kadar faedah, Carney mengatakan pengetatan tidaklah lebih pantas tetapi ia akan berlaku lebih awal.
Carney walaubagaimanapun menegaskan polisi tetap akan bergantung kepada data-data ekonomi.
Dari segi politik, BoE masih bimbang dengan perkembangan rundingan Brexit dengan mengatakan ia membawa ketidakpastian kepada ekonomi.
Apa yang menambah kenaikan matawang GBP pada Khamis adalah unjuran pertumbuhan ekonomi UK pada 2018 yang dinaikkan dari 1.6% kepada 1.8%. Unjuran inflasi pula tidak banyak berubah.
Dari segi Brexit, Carney menyatakan keyakinan BoE bahawa mereka akan lebih cukup maklumat tentang proses Brexit akhir tahun ini sekaligus dapat mengubah polisi dengan lebih baik dan bersesuaian, jika memang ada ketidakpastian yang besar.