Pasaran Asia didagangkan lemah ekoran kelemahan dalam Wall Street semalam dan melanjutkan penurunannya apabila data China menunjukkan imbangan perdagangan menurun kepada 34.46 bilion daripada 271 bilion dengan sektor eksport menjunam 16.6% sementara import menguncup sebanyak 0.3%.
Seperti biasa, sentimen pasaran yang lemah akan memberi kelebihan kepada matawang yang bersifat safe-haven khususnya matawang Yen. Bukan itu sahaja, Yen juga disokong oleh data domestik KDNK yang disahkan tinggi melebihi jangkaan dan sebelumnya. Ekonomi Jepun mencatatkan 0.5% suku ke suku pada suku Disember 2018, lebih kukuh daripada anggaran pasaran sebanyak 0.3% dan pulih daripada penguncupan 0.6% pada suku ketiga.
Sementara itu, Euro merosot hampir 21 bulan rendah berbanding dolar pada hari Jumaat, ditekan oleh beberapa isyarat dovish dari Bank Pusat Eropah semalam (ECB). ECB berkata, waktu untuk langkah menaikkan kadar faedah telah dilanjutkan pada tahun 2020 dan unjuran terhadap pertumbuhan juga diturunkan.
Tambahan lagi, Bank pusat tersebut turut mengumumkan bakal melancarkan kempen pinjaman bank jangka masa panjang pada September 2019 bertujuan untuk merancakkan kembali aktiviti pertumbuhan ekonomi pada zon Eropah.
Menjelang pasaran New York malam ini, pelabur akan beralih tumpuan kepada laporan pekerjaan Amerika Syarikat bagi bulan Februari dimana pasaran menjangkakan 180,000 pekerjaan dicipta selepas kenaikan ketara pada Januari dengan bacaan 304,000.