Penjualan oleh pelabur asing di Bursa Malaysia dilihat semakin berkurangan pada minggu lepas meskipun jualan terhadap saham tempatan yang disenaraikan di bursa tempatan masih berterusan selama enam minggu berturut-turut, lapor MIDF Research.
Jualan asing saham tempatan di Bursa Malaysia berkurang kepada RM372.8 juta minggu lepas daripada RM598.1 juta pada minggu sebelum.
Pelabur asing menjual RM99.7 juta bersih saham tempatan pada Isnin dipengaruhi oleh ketidaktentuan pasaran global di samping perundingan perang dagangan yang belum mencapai kata sepakat antara dua negara gergasi ekonomi AS dan China.
Aliran keluar bersih asing berkurang kepada RM54.6 juta berikutan penangguhan 90 hari oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) ke atas larangan berurusan dengan Huawei Technologies Co yang memberi lesen sementara membolehkan Huawei terus menjalankan perniagaan bersama firma AS.
Bagaimanapun, aliran keluar bersih asing kembali catat peningkatan kepada RM126.9 juta pada hari berikutnya disebabkan sentimen pelabur berhati-hati untuk memasuki pasaran menjelang minit mesyuarat Fed pada hari tersebut.
Jualan bersih asing kembali menurun kepada RM49.1 juta pada Khamis selepas minit mesyuarat Fed menyatakan pemotongan kadar faedah Julai lalu memberi petunjuk kepada penganalisis bahawa kadar faedah akan diturunkan lagi.
Menjelang simposium tahunan Jackson Hole pada Jumaat, aktiviti jualan bersih asing berkurang kepada RM42.6 juta sejajar dengan situasi pasaran serantau dipengaruhi oleh sentimen pelabur terhadap jangkaan pasaran ke atas simposium tahunan yang diadakan.
Menurut MIDF, prestasi pada minggu lalu menjadikan jumlah aliran keluar bersih asing mencecah ke tahap RM7.02 bilion.