Apple dilaporkan bersedia membuat pelaburan untuk mendapat pengisian asli bagi perkhidmatan siaran premiumnya yang bakal menelan belanja sekitar $1 billion hingga $6bilion. Siaran itu dijangka akan dilancarkan bermula November ini.
Sebagai perbandingan, Netflix membelanjakan kira-kira $15 bilion hingga $20 bilion untuk pengisiannya pada tahun depan manakala Disney dijangka telah mengeluarkan dana sebanyak $24 bilion secara keseluruhannya pada tahun ini bagi pengisian termasuklah untuk filem teater. Disney+, perkhidmatan siaran video yang dinanti-nantikan dijangka bakal dilancarkan juga pada November.
Apple TV Plus akan mengenakan bayaran sebanyak $9.99 untuk sebulan, dimana ia menyajikan pelbagai pengisian baru termasuklah sebuah drama berepisod “The Morning Show” yang dibintangi nama-nama terkemuka seperti Reese Witherspoon, Jennifer Aniston adan Steve Carell.
Namun pihak Apple sedar mereka hanya mempunyai jumlah pengisian yang sedikit jika mahu dibandingkan dengan Netflix yang telahpun memiliki ribuan pengisian serta Disney yang bakal muncul dengan Disney+ turut menawarkan pelbagai koleksi terdahulu.
Jumlah $6 bilion yang dilaburkan oleh Apple itu boleh dikatakan bersesuaian dengan situasi semasa Apple kerana mereka masih belum mengetahui sejauh mana kekuatan produk mereka. Adalah lebih baik jika mereka menunggu masa yang sesuai sebelum mengeluarkan lebih banyak belanja.