Matawang dolar Australia mula menunjukkan penurunan pada sesi Asia hari ini ekoran memberi reaksi terhadap ucapan Gabenor Reserve Bank of Australia (RBA) Philip Lowe di Sydney berkenaan inflasi dan ekonomi.
Kenyataan utama yang diutarakan oleh Lowe adalah kesediaan bank pusat untuk pelonggaran polisi jika permintaan masih kekal mengecewakan. Beliau mengatakan adalah bertepatan untuk menjangkakan lanjutan tempoh untuk kadar faedah berada pada paras yang rendah.
Data-data semasa masih tidak menyokong untuk perubahan ke arah sasaran 2 hingga 3% oleh bank pusat. Namun, berkemungkinan kadar permintaan yang kembali meningkat bakal menyokong semula kadar inflasi dalam tempoh waktu yang sesuai.
Ia akan mengambil sedikit masa untuk inflasi kembali ke sekitar sasaran dan ahli mesyuarat bank pusat amat komited untuk memastikan inflasi kembali semula ke arah sasaran. Ahli mesyuarat turut menumpukan perhatian terhadap perubahan unjuran untuk polisi monetari global.
Kenyataan bernada dovish oleh Philip Lowe mendorong penurunan pada dagangan Aussie di mana berbanding dolar Amerika, pasangan matawang AUD/USD membuat penurunan ke paras terendah dua minggu mencecah paras 0.69650 sekitar jam 11.30 pagi waktu Malaysia.