Matawang dolar Amerika diniagakan kukuh di paras tertinggi 22 bulan berbanding matawang utama yang lain pada Rabu berikutan data pada sektor perumahan yang dikeluarkan semalam mencatatkan angka yang meningkat seterusnya memberikan sedikit kelegaan terhadap kebimbangan pertumbuhan ekonomi di Amerika Syarikat sebelum ini.
Bacaan data menunjukkan kadar jualan rumah baru di Amerika Syarikat melonjak ke sekitar paras tertinggi dalam tempoh satu setengah tahun pada Mac dan didorong juga oleh catatan positif pada data jualan runcit dan eksport.
Tumpuan untuk USD seterusnya adalah kepada data awal pertumbuhan GDP di Amerika Syarikat pada Jumaat ini untuk bacaan suku tahun pertama 2019 dan memberikan gambaran terhadap pelabur berkenaan kesihatan pada ekonomi semasa.
Pound Sterling didagangkan lemah sepanjang minggu dan menurun ke paras terendah dua bulan setelah harapan terhadap rundingan Perdana Menteri Britain, Theresa May bersama parti pembangkang memudarkan keyakinan pasaran di mana beliau juga turut berdepan tekanan untuk perletakan jawatannya.
Sementara matawang komoditi dolar Kanada yang didagangkan kukuh pada awal minggu berikutan isu sekatan eksport minyak mentah Iran oleh Amerika Syarikat kini telah kembali mengalami penurunan semula.
Penurunan CAD adalah disebabkan faktor kewaspadaan pelabur menjelang keputusan penetapan kadar faedah pada mesyuarat dasar monetari bank pusat Kanada pada jam 10 malam ini. Kadar faedah dijangka bakal dikekalkan namun kenyataan susulan oleh gabenor bank pusat akan menjadi tumpuan pasaran yang akan memberi isyarat terhadap kenaikan kadar yang seterusnya.
Sesi pasaran Asia pagi ini memberikan tumpuan pada dagangan dolar Australia. Matawang AUD menjunam sebentar tadi setelah bacaan data indeks harga pengguna dikeluarkan.
Data inflasi yang menjangkakan penurunan kepada 0.2% daripada bacaan 0.5% sebelumnya, sebaliknya mencatatkan penurunan yang lebih rendah daripada jangkaan iaitu pada kadar 0.0% untuk bacaan suku tahun pertama 2019.
Penurunan pada kadar inflasi ini bakal mempengaruhi keputusan penetapan kadar pada mesyuarat bank pusat selepas ini dan menguatkan lagi jangkaan penurunan kadar faedah untuk tahun ini.
Pada pandangan teknikal, penurunan harga pada chart pasangan matawang AUD/USD pada pagi ini telah mencatatkan sekitar 70 pips penurunan melepasi paras terendah semasa harga yang dicatatkan untuk bulan April.