Bank pusat UK (BOE) berpendapat ketidakpastian terhadap isu Brexit dan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan semakin meningkat dan menyebabkan prestasi ekonomi UK berada di bawah potensi yang seharusnya dikecapi dan kegagalan untuk mencapai kesepakatan dengan Kesatuan Eropah sebelum 31 Oktober akan menambah buruk masalah.
Keseluruhan sembilan ahli kesemua ahli MPC (Monetary Policy Committee) BOE mengundi agar kadar faedah dikekalkan pada 0.75% dan memberi amaran bahawa situasi no deal akan memberi impak terhadap pertumbuhan ekonomi dan matawang sterling.
Namun dalam masa yang sama minit mesyuarat polisi buat pertama kali memberikan amaran yang jelas terhadap impak yang bakal dihadapi jika Brexit terus ditangguhkan dengan mengatakan “ketidakpastian” terma-terma pengunduran UK daripada EU akan mendatangkan kemudaratan walaupun pada skala yang lebih kecil.
Tambah BOE, semakin lama ketidakpastian terhadap Brexit terus berlangsung ditengah pertumbuhan ekonomi global yang perlahan maka semakin tinggi kebarangkalian bahawa pertumbuhan ekonomi UK berada dibawah paras potensi.
BOE juga menyatakan bahawa ketegangan perdagangan antara AS dan China juga telah memberi impak negatif terhadap pelaburan perniagaan di seluruh dunia.