Perdana Menteri UK Boris Johnson melancarkan manifesto terbarunya dengan memberitahu bahawa beliau adalah satu-satunya pihak dalam pilihan raya UK yang akan menamatkan kebuntuan Brexit dengan berjanji untuk ‘mendapatkan Brexit selesai’.
PM Johnson berkata, pesaingannya Parti Liberal Demokrat, Parti Buruh dan parti lain hanya akan membawa kepada lebih banyak penangguhan dan akhirnya mengkhianati kehendak pengundi seperti yang dinyatakan dalam undi 2016 untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).
Selain itu, PM Johnson turut berjanji akan membawa perjanjian Brexitnya kembali ke parlimen sebelum perayaan Krismas. Ini telah menambah keyakinan untuk berlakunya Brexit berikutan calon parti Johnson telah berjanji untuk mengundi di Parlimen bagi meluluskan perjanjian tersebut.
Dengan berkata, jika Parti Konservatif di bawah pimpinannya memenangi majoriti dalam pilihan raya tersebut, ia akan membolehkan UK keluar pada tarikh akhir yang ditetapkan oleh EU pada 31 Januari 2020.
Berbeza dengan parti Buruh yang menggunakan pendekatan cukai dan perbelanjaan dengan menjanjikan akan menaikkan cukai ke atas golongan kaya dan perniagaan untuk menjana pertumbuhan utama negara, PM Johnson pula berjanji tidak akan menaikkan cukai pendapatan.
Hal ini telah mengukuhkan lagi kedudukan partinya untuk memenangi pilihan raya UK selain turut didorong oleh keyakinan untuk mendapatkan Brexit yang semakin meningkat.
Sementara itu, dalam keputusan tinjauan terkini oleh YouGov, Parti Konservatif masih mendahului dengan 12 mata, menjadikannya berada di depan dengan 42% berbanding Parti Buruh pada 30%.
Dengan berbaki beberapa minggu sahaja lagi menjelang pilihan raya UK pada 12 Disember ini, PM Johnson telah melancarkan manifestonya yang menjanjikan lebih banyak perbelanjaan sektor awam dan tiada lagi penangguhan untuk keluar daripada EU.