Jabatan Kastam China pada sebentar tadi menerbitkan bacaan bagi imbangan dagangan untuk Julai 2019 yang menjadi tumpuan pelabur pada hari ini. Bacaan data menunjukkan angka yang positif dengan tumpuan turut diberikan terhadap kadar import dan eksport China.
Lebihan dagangan China mencatatkan peningkatan kepada $45.06 bilion dolar untuk bacaan Julai 2019 berbanding $27.49 bilion dolar pada bulan yang sama tahun lalu. Angka tersebut turut berjaya mengatasi jangkaan pasaran pada ramalan $40 bilion dolar.
Kadar eksport China pula turut mencatatkan bacaan yang mengejutkan apabila meningkat kepada 3.3% pada Julai 2019 bagi bacaan unjuran tahun ke tahun, dengan mudah mengatasi jangkaan penurunan 2% oleh pasaran walaupun dilanda kebimbangan perang dagang AS-China.
Manakala, kadar import China menurun kepada 5.6% pada Julai 2019 unjuran tahun ke tahun, selepas penurunan 7.3% pada bulan sebelumnya, berbanding jangkaan penurunan 8.3% oleh pasaran.
Data yang diterbitkan dilihat tidak memberi impak yang ketara terhadap pergerakan pasaran semasa dengan tumpuan pelabur masih terarah pada perkembangan perang dagang yang meningkatkan risiko dalam pasaran.