Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Christine Lagarde dalam keterangannya di Parlimen Eropah semalam, menegaskan ECB tetap teguh untuk memulihkan kestabilan harga zon Eropah di bawah pentadbirannya selain turut menekankan mengenai kajian strategi akan datang adalah lebih terbuka.
Seperti yang dikatakan dalam ucapan yang terdahulu, Lagarde sekali lagi menegaskan komitmen ECB untuk mencapai mandatnya bagi mencapai kestabilan ekonomi dan kebajikan di zon Eropah.
Mandat utama ECB adalah untuk memastikan kestabilan harga dan bank pusat itu sendiri telah memutuskan pada tahun 2003 bahawa sasaran inflasi berada di bawah, tetapi hampir kepada 2% dalam jangka masa sederhana.
Bagaimanapun, disebabkan oleh perubahan dalam landskap makroekonomi seperti yang dilihat dalam krisis kewangan dan faktor-faktor lain seperti demografik, gangguan teknologi dan perubahan iklim, ia memerlukan ECB untuk mengkaji semula strategi sama ada matlamat inflasi ditetapkan pada tahap yang betul.
Apabila menyebut mengenai kajian strategi dalam dasar monetari ECB yang akan dimulakan dalam masa terdekat, Lagarde menyatakan ia terlalu awal untuk membincangkan mengenai skop yang tepat, hala tuju dan garis masa dalam kajian tersebut kerana ia belum dibincangkan secara menyeluruh oleh Governing Concil ECB.
Namun begitu, beliau memberitahu bahawa kajian semula strategi akan dibimbing oleh dua prinsip iaitu analisis menyeluruh dan berfikiran terbuka.
Sementara itu, Lagarde juga memberitahu ahli parlimen Kesatuan Eropah (EU) supaya memberikannya masa untuk mempelajari mengenai jawatan barunya dan dalam usahanya membentuk dasar monetari ECB.
Ini menjelaskan bahawa Lagarde masih berhati-hati dalam penyampaian pandangannya mengenai dasar monetari bank pusat dan kemungkinan untuk penetapan kadar faedah pada 12 Disember ini dijangka kekal tidak berubah setelah beliau gagal menggunakan peluang untuk memberi petunjuk dalam keterangannya semalam, demikian menurut jangkaan penganalisis.