Pengharaman syarikat Huawei di Amerika Syarikat telah memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk menyinar. Peluang itu lantas diambil oleh Ciena, sebuah syarikat peralatan rangkaian telekomunikasi yang merupakan pesaing bagi syarikat teknologi gergasi dari China itu.
Tetapi impaknya tidak begitu ketara di AS seperti yang disangka. Dalam satu panggilan persidangan bersama penganalisis pada hari Khamis pagi mengenai laporan pendapatan terkini Ciena, CEO Gary Smith berkata bahawa lebih banyak pelanggan di luar AS memilih untuk menjauhkan diri dari Huawei.
Kebanyakan syarikat mula mencari alternatif lain bagi mengurangkan kebergantungan terhadap produk dari Huawei. Syarikat-syarikat Eropah khususnya mula membeli lebih banyak peralatan rangkaian dan peralatan pusat data dari Ciena dan kurang dari Huawei.
Ekoran daripada rangsangan itu, pelanggan dari Eropah secara tidak langsung membantu Ciena merekodkan pendapatan mengatasi ramalan sebelum ini. Jualan syarikat itu meningkat 17% berbanding tahun lalu manakala keuntungan naik lebih daripada 70% dari tempoh yang sama tahun lalu.
Namun begitu, harga saham Ciena mengalami sedikit penurunan semalam dengan merekodkan penurunan $1.58 kepada $39.62. Meskipun begitu, saham Ciena masih meningkat lebih dari 20% dalam masa 12 bulan terakhir.
Ciena seharusnya mendapat manfaat daripada penjualan peralatan rangkaian mereka kepada syarikat telefon pintar gergasi Verizon dan syarikat induk CNN AT & T kerana masing-masing merancang lebih banyak penggunaan rangkaian tanpa wayar 5G.
Smith berkata beliau tidak terlalu memberi perhatian terhadap kesan perang perdagangan di antara AS-China kepada syarikatnya, kerana Ciena harus mendapat keuntungan dari trend pertumbuhan jangka panjang selari dengan peningkatan penggunaan video dan data di AS serta di seluruh dunia.