Dagangan emas kembali meningkat menuju ke sekitar paras tertinggi 6 tahun yang dicapai pada minggu ini dengan risiko yang masih berlegar dalam pasaran.
Antara faktor yang meningkatkan kebimbangan dalam pasaran adalah perkembangan terhadap rundingan dagang AS-China yang masih dilihat goyah serta kecenderungan bank pusat global untuk pelonggaran polisi monetari.
Keputusan penetapan dasar monetari oleh Federal Reserve untuk mesyuarat September antara yang ditunggu-tunggu pelabur ekoran kritikan bertali arus oleh Presiden AS Donald Trump terhadap keputusan yang dibuat oleh bank pusat tersebut sebelum ini.
Ditambah pula dengan ketidaktentuan Brexit selepas tindakan Perdana Menteri UK Boris Johnson menangguhkan Parlimen sehingga lebih sebulan bakal merisikokan Brexit ke arah situasi pengunduran tanpa perjanjian bersama Kesatuan Eropah.
Dengan isu-isu yang merisikokan pasaran ini akan terus mencetuskan kerisauan para pelabur dalam pasaran dan membuatkan aset safe-haven terutamanya emas menjadi pilihan pelaburan yang lebih selamat.
Sementara harga minyak mentah menurun pada Khamis selepas Presiden Fed cawangan San Francisco, Mary Daly menyatakan kebimbangan terhadap kestabilan ekonomi Amerika Syarikat.
Pertumbuhan ekonomi dilihat perlahan ekoran perang dagang yang berlarutan antara Amerika dan China berpotensi menjejaskan permintaan minyak mentah dalam pasaran.
Daly mengatakan beliau percaya terhadap momentum pengukuhan ekonomi Amerika Syarikat, namun impak daripada ketidaktentuan dan pertumbuhan global yang perlahan membangkitkan kebimbangan.
Pasaran juga turut dikejutkan oleh kejatuhan ketara pada inventori minyak mentah AS dimana penurunan 10 juta tong pada minggu lalu dicatatkan meleset berbanding jangkaan penurunan 2.1 juta oleh pasaran.
Penurunan tersebut menunjukkan tindakan pengurangan pengeluaran oleh OPEC telah berkesan mengurangkan bekalan minyak mentah Amerika Syarikat.