Peningkatan permintaan terhadap aset safe-haven telah meningkatkan dagangan yen berbanding dolar USD susulan terdapat laporan yang memetik sumber yang rapat dengan White House bahawa perjanjian perdagangan fasa pertama AS dan China mungkin tidak akan ditandatangani pada tahun ini.
Tertekan oleh ketegangan AS dan China yang berterusan akibat kelulusan rang undang-undang yang menyokong penunjuk perasaan di Hong Kong dan ketidakpastian rundingan perdagangan, dagangan dolar USD diniagakan menyusut berbanding beberapa matawang utama.
Penyelesaian perjanjian fasa pertama mungkin akan dibawa sehingga ke tahun depan memandangkan China masih menekan untuk penghapusan tarif yang lebih banyak dan pentadbiran Trump dengan permintaan mereka yang tersendiri.
Terdahulu, Trump dan Setiausaha Perbendaharaan AS Steven Mnuchin berkata bahawa perjanjian fasa pertama akan disiapkan secara bertulis dalam lima minggu, namun setelah lima minggu kemudian perjanjian tersebut masih belum selesai dan bertambah rumit.
Sementara itu, laporan minit mesyuarat FOMC yang paling dinantikan pasaran menunjukkan akan berhenti daripada pelonggaran lebih lanjut selepas memutuskan untuk mengurangkan kadar faedah pada Oktober lalu.
Bagi pasaran Eropah, akibat turut terkesan oleh ketidaktentuan dalam rundingan dagang AS dan China, dagangan euro diniagakan mendatar berbanding dolar USD dan rendah berbanding yen dan Swiss Franc.
Selain itu, matawang pound diniagakan sedikit meningkat berbanding kebanyakan matawang utama kecuali matawang safe-haven dengan perhatian pasaran terus tertumpu kepada perkembangan terbaru menjelang pilihan raya UK.
Di sisi lain, sebagai matawang yang terdedah kepada isu perdagangan, dolar Australia dan New Zealand terus berada di bawah tekanan untuk diniagakan menyusut berbanding USD.