Permulaan dagangan sesi Asia hari ini memperlihatkan matawang dolar New Zealand dan Australia kembali melonjak selepas diniagakan di paras terendah pada minggu ini disokong oleh bacaan data ekonomi di kedua-dua negara itu yang lebih baik daripada jangkaan.
Dagangan kiwi melonjak sejurus selepas data pertumbuhan ekonomi (GDP) New Zealand menunjukkan peningkatan 0.7% pada suku ketiga daripada 0.6% yang disasarkan. Secara tahunan, GDP berkembang 2.3%, sedikit tersasar daripada jangkaan untuk meningkat 2.4%.
Dolar Aussie turut mengukuh ekoran bacaan yang diterbitkan oleh Biro Statistik Australia yang menunjukkan kadar pengangguran di negara itu tanpa dijangka telah berkurang kepada 5.2% berbanding unjuran yang disasarkan tidak berubah pada 5.3% daripada bacaan pada bulan sebelumnya.
Australia dilaporkan telah menambah 39,900 pekerjaan pada bulan November yang mengatasi sasaran untuk kenaikan sebanyak 14,000, setelah mencatatkan pengurangan pekerjaan sebanyak 24, 800 pada bulan Oktober.
Dagangan US dolar jatuh berbanding yen selepas keputusan undian pemecatan Presiden Donald Trump oleh Dewan Perwakilan AS menunjukkan majoriti mengundi yang meluluskan dua artikel untuk memecat presiden itu atas dakwaan penyalahgunaan kuasa beliau yang cuba menekan Ukraine untuk menyiasat saingan politiknya.
Sementara itu, dolar Kanada mengukuh berbanding US dolar susulan data inflasi tahunan Kanada meningkat ke paras tertinggi 6 bulan dengan kenaikan 2.2% pada November daripada 1.9% yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Matawang pound terus diniagakan di bawah tekanan berbanding beberapa matawang utama menjelang mesyuarat penetapan dasar monetari Bank Pusat Eropah (BOE) pada malam ini yang menjangkakan tiada perubahan kadar faedah akan dilakukan.
Bagaimanapun, pasaran tetap bersedia terhadap kemungkinan bank pusat itu akan memberi petunjuk mengenai penetapan dasar monetari pada tahun 2020.