Dagangan dolar Euro dilihat menerima tekanan daripada data ekonomi Jerman yang lemah sebagai ekonomi terbesar di zon Eropah di mana berpotensi mempengaruhi keputusan mesyuarat polisi monetari bank pusat Eropah minggu hadapan.
Data pesanan kilang di Jerman untuk bulan Julai mencatatkan bacaan lemah iaitu penurunan kepada -2.7% jauh lebih rendah berbanding jangkaan penurunan -1.5% oleh pasaran daripada 2.7% pada bacaan terdahulu. Bacaan tersebut juga merupakan angka yang paling lemah dicatatkan sejak September 2016.
Bacaan data yang lemah itu memberi bebanan terhadap dagangan Euro pada awal sesi pasaran Eropah. Ia juga sekali lagi meningkatkan keraguan terhadap tahap kesihatan ekonomi Jerman dan menimbulkan persoalan dalam kalangan pelabur, sejauh manakah Jerman mampu bertahan sebelum terjerumus ke arah kemelesetan.
Dengan sektor perkilangan dan pembuatan yang berterusan merosot, kebimbangan terus dirasai untuk pertumbuhan pada suku ketiga 2019 yang tidak begitu meyakinkan sepertimana yang dialami pada penurunan suku kedua sebelum ini.
Dengan jangkaan European Central Bank (ECB) bakal memperkenalkan pakej rangsangan yang terbaru pada mesyuarat minggu hadapan, tindakan pelonggaran polisi bukanlah sesuatu yang meyakinkan buat dagangan Euro apabila pasaran menyedari tindakan tersebut bukan pendekatan jangka panjang yang sesuai untuk merancakkan kembali ekonomi zon Eropah.
Justeru itu, dagangan dolar Euro kekal diklasifikasikan dalam kelompok dagangan yang berisiko bersama-sama matawang safe-haven yang kini memberi reaksi terhadap perubahan sentimen pasaran yang sedikit pulih.
Dalam pada itu juga, pelabur berwaspada memantau dagangan dolar USD dengan data laporan pekerjaan ADP NFP Amerika Syarikat pada sesi New York malam ini akan menjadi tumpuan sebagai petunjuk awal untuk laporan pekerjaan NFP pada Jumaat.