Selepas data inflasi United Kingdom dikeluarkan semalam dengan bacaan yang baik, sesi dagangan Eropah hari ini pula memberi fokus terhadap data jualan runcit UK dan implikasi terhadap dagangan Pound Sterling.
Data jualan runcit untuk bulan Julai diterbit lebih awal pada kali ini dengan bacaan agak baik. Kadar jualan runcit meningkat kepada 0.2% lebih tinggi berbanding jangkaan penurunan -0.3% oleh pasaran.
Angka tersebut lebih rendah berbanding peningkatan pada bulan Jun pada 0.9% yang telah dikemaskini semula namun bacaan berjaya mengatasi jangkaan.
Runcit tanpa kedai (non-store) berkembang 6.9% dan jualan di kedai mencatatkan peningkatan sebanyak 1.6% diikuti penurunan berterusan untuk 6 bulan berturutan.
Unjuran tahun ke tahun, pertumbuhan dagangan runcit menurun kepada 3.3% pada Julai daripada 3.8% pada Jun, juga mengatasi jangkaan penurunan 2.6% oleh pasaran.
Susulan data dikeluarkan, matawang GBP dilihat sedikit mengukuh mencatatkan kenaikan berbanding pasangan matawang utama yang lain.
Pasaran saham Eropah turut dilihat stabil pada Khamis, selepas mengalami situasi jualan besar-besaran ekoran kebimbangan kemelesetan global yang melanda. Namun, pelabur berharap bank-bank pusat akan membuat keputusan yang terbaik untuk polisi monetari bagi mengurangkan ketidatentuan yang berlaku dalam pasaran.
Penyongsangan lengkung pada carta hasil pulangan AS meningkatkan tekanan terhadap Federal Reserve untuk tindakan mengurangkan kadar faedah, dengan pelabur mula menyerap jangkaan penurunan kadar satu suku tahun daripada baki tiga mesyuarat polisi Fed pada 2019.