Dagangan dolar Euro pada penghujung minggu lalu telah menunjukkan penurunan ketara berbanding dolar Amerika Syarikat susulan data ekonomi zon Eropah diterbitkan pada Jumaat.
Bacaan data PMI pembuatan dan perkhidmatan untuk November mencatatkan angka yang lemah selepas bacaan data PMI di Jerman yang bercampur.
Bacaan data tersebut memberi petunjuk terhadap perkembangan zon Eropah yang perlahan sekaligus menekan dagangan dolar Euro.
Menambahkan lagi tekanan apabila tumpuan terarah pada ucapan pertama Christine Lagarde selepas mengambil alih jawatan Presiden European Central Bank (ECB) menggantikan Mario Draghi.
Dalam ucapannya, beliau menggariskan ketegangan perdagangan global serta pergolakan geopolitik telah menjejaskan pertumbuhan ekonomo global. Beliau turut menyeru Eropah untuk membangunkan dasar campuran baru yang merangkumi rangsangan fiskal.
Meneliti pergerakan harga pada carta pasangan matawang EUR/USD pada Jumaat, harga yang menguji zon resistance pada sesi Eropah di paras ketinggian 1.10870 kemudiannya telah menjunam lebih 70 pips ke paras lebih rendah sehingga sesi dagangan New York ditutup.
Penurunan harga mencecah paras terendah pada 1.10130 selepas menembusi paras sokongan Moving Average 50 (MA50).
Memulakan dagangan pada minggu ini, harga pada carta EUR/USD bergerak perlahan seawal sesi Asia bermula. Namun mula menunjukkan tanda-tanda penurunan menuju penghujung sesi.
Jika harga meneruskan penurunan, harga bakal menuju ke paras tumpuan 1.10000 dan menguji zon support di bawah paras tersebut.
Harga yang berjaya melepasi zon support tersebut bakal mencatatkan paras terendah terbaru harga untuk tempoh tiga minggu dagangan.
Namun jika harga kembali melakukan kenaikan semula, paras 1.10400 pada zon SBR (support become resistance) dijangka akan diuji harga sebelum meneruskan kenaikan seterusnya.
Kenaikan lebih tinggi bakal menjadikan paras resistance pada minggu lalu sebagai destinasi harga yang seterusnya di bawah paras 1.11000.
Lihat gambar carta pasangan matawang EUR/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.