Rizab Persekutuan AS (Fed) menepati jangkaan pasaran dengan memotong kadar faedah buat kali ketiga pada tahun ini untuk membantu pertumbuhan ekonomi AS, namun begitu Fed memberi isyarat bahawa tidak akan ada pengurangan yang selanjutnya selepas ini melainkan jika ekonomi bertambah buruk.
Menurut kenyataan Pengerusi Fed Jerome Powell, walaupun dengan kebimbangan terhadap perang perdagangan antara AS-China dan ketidakpastian Brexit telah memberi kesan kepada pelaburan perniagaan dan menjejaskan pengeluaran, ekonomi AS kekal berdaya tahan dan dasar monetari kini di tempat yang baik.
Sehubungan itu, langkah pelonggaran yang diambil ini adalah untuk membantu mengekalkan ekonomi AS dalam menghadapi perkembangan global dan menyediakan beberapa jaminan terhadap risiko yang berterusan.
Fed menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada julat sasaran antara 1.50% dan 1.75%, seperti yang dijangkakan.
Matawang dolar Amerika yang pada mulanya melonjak sehingga mencapai paras tertinggi pada 109.28 berbanding yen sebelum kembali jatuh. Indeks dolar yang mengukur greenback berbanding enam matawang utama lain juga susut selepas meningkat sehingga 98.0 sejurus pengumuman pengurangan kadar diumumkan.
Dolar USD terus menerima tekanan berikutan harapan untuk melihat kedua-dua ekonomi gergasi menandatangani perjanjian perdagangan fasa pertama pudar selepas Presiden Chile mengumumkan pembatalan sidang kemuncak APEC yang dikatakan akan menjadi tempat memeterai perjanjian itu.
Sementara itu, data pertumbuhan ekonomi (GDP) AS pada suku ketiga 2019 tanpa dijangka lebih kukuh dengan berkembang kepada 1.9%, didorong oleh sektor perumahan yang kukuh dan perbelanjaan pengguna yang baik.
Selain itu, penambahan pekerjaan dalam sektor swasta juga meningkat menunjukkan pengangguran yang berkurang. Pembacaan ini akan diteliti sebagai petunjuk oleh pelabur kepada prospek ekonomi menjelang laporan pekerjaan NFP pada Jumaat ini.